Kluster Bukit Bayas rekod 48 kes positif akibat rentas negeri

Kluster Bukit Bayas dilaporkan berpunca daripada aktiviti rentas negeri. Gambar kecil: Dr Nor Azimi - Foto Bernama
Kluster Bukit Bayas dilaporkan berpunca daripada aktiviti rentas negeri. Gambar kecil: Dr Nor Azimi - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu mengesan sebanyak 48 kes positif dan 954 kontak rapat melibatkan Kluster Bukit Bayas yang berpunca daripada aktiviti rentas negeri sejak ia didaftarkan 8 Mac lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata, usaha membendung penularan secara besar-besaran akan terus dilakukan kerana kluster itu membabitkan lima daerah iaitu Kuala Terengganu, Dungun, Hulu Terengganu, Kuala Nerus dan Marang.

"Kes ini berpunca daripada kontak rapat keluarga akhirnya menjangkiti kontak rapat tempat kerja dan menjangkiti kontak rapat sosial. Rakan riadah (joging) dan bermain golf pun dijangkiti.

"Jangan pandang ringan kebolehjangkitan Covid-19. Lihat, besarnya kawalan yang perlu dibuat. Selagi mampu kami akan terus melakukan aktiviti 'containment' (membendung)," katanya menerusi kenyataan di laman Facebooknya pada Jumaat.

Dalam pada itu, katanya, usaha mengekang penularan kluster itu akan terus dilakukan bagi mengelak kadar kes melonjak dengan cepat sekali gus mengambil masa lama untuk reda.

"Kami tidak mahu ia menjadi seperti Kluster Kebor Air yang mengambil masa yang lama untuk surut. Setiap kali kluster baharu muncul petugas kesihatan berhempas pulas mengesan kes dan memberi rawatan," katanya.

Dr Nor Azimi berkata, usaha mengesan kontak rapat dan melakukan ujian saringan dan isolasi perlu dibuat dengan pantas.

"Kluster Bukit Bayas berpunca daripada aktiviti rentas negeri. Ini antara sebab kenapa kami keberatan untuk membenarkan rentas negeri buat masa ini kerana kesannya cukup terasa kepada petugas kesihatan yang telah bertungkus lumus sejak setahun yang lalu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kluster Bukit Bayas direkodkan sejak 8 Mac lalu merupakan kluster komuniti melibatkan daerah Kuala Terengganu di Terengganu, Johor Bahru (Johor) dan Petaling (Selangor).

Kes indeks bagi kluster ini ialah kes 3,223 yang merupakan seorang wanita warganegara Malaysia berusia 28 tahun dilaporkan positif Covid-19 pada 3 Mac 2021 hasil saringan individu bergejala.

Sementara itu, sehingga Jumaat, Jabatan Kesihatan Terengganu merekodkan pertambahan 10 kes sembuh dan empat kes baharu Covid-19 menjadikan terdapat 128 kes Covid-19 aktif di negeri ini dengan jumlah keseluruhan sebanyak 3,342 kes.

Sebanyak 126 kes aktif berada dalam keadaan stabil dan diberikan rawatan biasa, dua kes menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) yang mana satu daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.