Kempen Rasuah Busters akan libatkan 'influencer'

Anas Zubedy - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
Anas Zubedy - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Kempen Rasuah Busters akan turut digerakkan oleh personaliti media sosial atau influencer agar mesej antirasuah dapat disampaikan ke semua segmen masyarakat.

Pengarah Urusan Zubedy dan Core Team #RasuahBusters, Anas Zubedy berkata, penglibatan influencer itu perlu untuk menambat hati golongan muda.

Katanya, bagi memastikan mesej antirasuah dapat disampaikan secara berkesan, ia perlu disampaikan mengikut segmen masyarakat atau golongan sasaran.

"Ada segmen yang kita kena minta tolong orang-orang kenamaan dan ahli politik seperti Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Tapi untuk orang muda, kita kena cari influencer. Di Malaysia juga, segmen untuk influencer berbeza. Bagi orang Cina, ada influencer dia sendiri dan orang Melayu juga ada influencer mereka sendiri," katanya.

Anas berkata demikian pada Wacana Sinar Edisi Ke-238 bertajuk 'Kalau sayangkan negara kenapa sanggup rasuah?' yang disiarkan secara langsung di semua platfom digital Sinar Harian pada malam Khamis.

Bergandingan bersama beliau sebagai panelis adalah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil dan Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot), Datuk Mohd Arshad Mohd Raji manakala personaliti televisyen, Ismail Adnan pula sebagai moderator.

Bagaimanapun, Anas menegaskan, kempen yang dilakukan itu tidak menggunakan wang, justeru pihaknya berharap influencer dapat melibatkan diri secara sukarela sebagai salah satu tanggungjawab sosial kepada masyarakat.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan laksanakan kempen ini secara menyeluruh. Selain influencer kita akan libatkan pihak-pihak lain seperti guru dan orang keagamaan bukan sahaja Islam tapi Kristian, Buddha dan Hindu.

"Kita akan laksanakan kempen ini secara menyeluruh agar pada penghujungnya kita mahu wujudkan budaya baharu supaya orang tak ambil rasuah dan tak beri rasuah seperti pesanan 'Mak Kata Jangan'," katanya.