Penolong pegawai tadbir hadapi 120 pertuduhan terima wang

Seorang penolong pegawai tadbir dihadapkan ke tiga Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas 120 pertuduhan menerima wang berjumlah RM82,700, empat tahun lalu.
Seorang penolong pegawai tadbir dihadapkan ke tiga Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas 120 pertuduhan menerima wang berjumlah RM82,700, empat tahun lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang penolong pegawai tadbir dihadapkan ke tiga Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas 120 pertuduhan menerima wang berjumlah RM82,700 daripada lima pemilik syarikat kontraktor pembersihan, empat tahun lalu.

Mohamed Helfien Nordin, 44, mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan terhadapnya yang dibacakan masing-masing di hadapan hakim-hakim Suzana Hussin, Rozina Ayob dan Azura Alwi.

Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai Penolong Pegawai Tadbir (N29), Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti yang bertugas sebagai Pengurus Perumahan Zon 2, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), telah menerima untuk dirinya wang RM82,700 yang dimasukkan ke dalam akaun Maybank miliknya daripada lima pemilik syarikat kontraktor pembersihan perumahan dan rumah sampah di DBKL yang ada hubungan dengan kerja rasmi tertuduh sebagai Pengurus Perumahan Zon 2.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Cawangan Medan Tuanku, Jalan Medan Tuanku 1 di sini, antara Januari 2014 dan Jun 2017 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab Wahab menawarkan jaminan RM80,000 bagi kesemua pertuduhan namun Mohamed Helfien yang tidak diwakili peguam, memohon jaminan dikurangkan kerana dia penanggung tunggal keluarga serta perlu menjaga isteri dan empat orang anak.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM47,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan pasportnya diserahkan kepada mahkamah dan dia perlu melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berdekatan pada minggu pertama setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 12 April ini untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam dan serahan dokumen. - Bernama

Artikel Berkaitan: