DPVM mohon Malaysia iktiraf kajian PHE

Gambar kecil: Syed Azaudin
Gambar kecil: Syed Azaudin
A
A
A

DEWAN Perniagaan Vape Malaysia memohon kerajaan Malaysia untuk mengiktiraf kajian terkini yang diterbitkan oleh Public Health England (PHE) ke atas vape nikotin dan mewujudkan peraturan yang progresif untuk industri ini di Malaysia.

Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM) dalam satu kenyataan pada Jumaat percaya terdapat beberapa aspek yang Kerajaan Malaysia boleh ambil daripada kajian PHE yang merupakan agensi kesihatan awam utama di United Kingdom.

"Ini terutamanya berkaitan dengan strategi untuk mengurangkan kadar merokok di Malaysia melalui vape nikotin supaya pengguna mempunyai akses kepada produk yang kurang mudarat, di mana vape telah dibuktikan sebagai alat untuk perokok berhenti merokok," katanya kenyataan itu.

Sementara itu Presiden DPVM, Syed Azaudin Syed Ahmad berkata, Malaysia perlu mengiktiraf bukti-bukti yang telah dijumpai, khususnya bukti yang menunjukkan vape sebagai alat yang berkesan dalam mendorong perokok untuk berhenti dan pada masa yang sama merendahkan risiko kesihatan.

"Laporan terkini daripada PHE itu bukan sahaja mengesahkan semula bahawa kesan vape ke atas kesihatan ialah 95 peratus kurang mudarat berbanding rokok tradisional malah telah membantu lebih daripada 50,000 perokok di England untuk berhenti merokok dalam setahun,” katanya.

Menurut laporan PHE yang dijalankan oleh penyelidik di King’s College London, vape nikotin ialah produk paling popular yang menjadi pilihan untuk bantu berhenti merokok di England pada tahun 2020 berbanding terapi penggantian nikotin.

Hasil laporan itu juga menyokong kajian yang sedia ada sekaligus mengukuhkah bukti tentang betapa pentingnya vape dalam usaha membantu perokok berhenti merokok.

Satu kajian oleh Action on Smoking and Health (ASH), badan NGO berkenaan dengan kawalan tembakau di UKmendapati bahawa 58.9 peratus daripada penghisap vape di Great Britain ialah bekas perokok dan golongan ini bertambah dari tahun ke tahun.

Artikel Berkaitan:

Tambahan juga, the University College of London Smoking Toolkit Study yang menyumbang kepada data bulanan tingkah laku perokok dan langkah kawalan tembakau juga menunjukkan hubungan jelas antara kadar perokok berhenti merokok dengan peningkatan penggunaan vape.

Di Malaysia, satu kajian yang dijalankan oleh DPVM bertajuk 'Kajian Industri Vape Malaysia' menunjukkan 94 peratus daripada pengguna vape di Malaysia mempunyai sejarah menghisap rokok.

Faktor yang tertinggi yang diberikan pengguna untuk beralih kepada vape ialah dengan hasrat untuk berhenti merokok (57 peratus) dan kerana ia kurang mudarat berbanding menghisap rokok (56 peratus).

Syed Azaudin berkata, selain telah dibuktikan sebagai alat yang efektif untuk berhenti merokok, Malaysia juga wajar mengiktiraf industri vape sebagai sebuah industri yang berdaya maju, sedang berkembang dan mampu menyumbang kepada ekomomi tempatan.

"Berdasarkan kepada laporan terkini kami, industri vape kini bernilai RM2.27 billion, sekaligus mengesahkan bahawa industri vape Malaysia mempunyai potensi yang ketara yang boleh dicapai dengan adanya peraturan yang praktikal dan komprehensif,” kata Syed Azaudin.