Ibu, lima lelaki serang jiran gara-gara 'tegur' anak

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KLANG - Gara-gara tidak puas hati anak ditegur jiran kerana bermain sepak botol minuman dan memaki, seorang ibu bersama lima lelaki bertindak menyerang jirannya itu dalam kejadian di Taman Suria Pendamar di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kejadian berlaku selepas mangsa berusia 37 tahun menegur anak jirannya berusia lingkungan 10 tahun supaya tidak bermain sepak botol minuman kerana telah terkena dirinya.

Menurutnya, selepas teguran itu, kanak-kanak terbabit telah menjawab dengan perkataan 'bodoh' dan mengulangi perkara yang sama.

"Pengadu berasa sakit hati dan menuju ke arah kanak-kanak terbabit sebelum menggertak mahu ikat tangan bagi tujuan beri pengajaran.

"Kanak-kanak itu telah memohon maaf dan pengadu suruh kanak-kanak balik ke rumahnya," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, kemudian datang ibu kanak-kanak tersebut bersama lima lelaki masuk ke dalam rumah pengadu dan memukul pengadu, bapa serta seorang pekerja pengadu hingga mengalami kecederaan lebam di seluruh badan.

Katanya, rumah pengadu juga mengalami kerosakan akibat kejadian terbabit.

"Susulan itu, bertindak hasil maklumat, polis berjaya menahan tiga lelaki berusia 26 hingga 58 tahun di sekitar lokasi kejadian untuk siasatan kerana merusuh manakala dua lagi masih diburu.

Artikel Berkaitan:

"Ketiga-tiga suspek ditahan reman selama dua hari bermula Jumaat dan kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan," katanya.