Curi wang bekas majikan bayar hutang ah long, berjudi

Peti simpanan wang yang dipecahkan seorang bekas pekerja kilang di Taman Tan Sri Yaacob, Iskandar Puteri pada Rabu.
Peti simpanan wang yang dipecahkan seorang bekas pekerja kilang di Taman Tan Sri Yaacob, Iskandar Puteri pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU- Polis menahan seorang bekas pekerja kilang perabot, di Jalan Rumbia 69, Taman Daya, di sini petang Khamis selepas dipercayai memecah peti simpanan dan mencuri wang majikannya di kilang terbabit di Taman Tan Sri Yaakob, di sini Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, lelaki berumur 59 tahun itu ditahan kira-kira jam 2.30 petang, iaitu tidak sampai tempoh 24 jam selepas kejadian, setelah polis bertindak atas laporan majikan yang merupakan pemilik kilang terbabit.

“Dalam laporannya, pemilik kilang yang merupakan seorang lelaki berumur 50 tahun itu mengadu menyedari kehilangan wang tersebut daripada peti simpanannya yang didapati sudah dipecahkan, pada kira-kira 6.30 petang, pada Rabu.

“Didapati hanya duit syiling yang berada di dalam peti simpanan terbabit manakala wang kertas bercampur-campur yang dianggar sebanyak RM200,000 sudah hilang disyaki dicuri,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Dzulkhairi berkata, hasil siasatan terhadap suspek, dia mengaku mencuri wang sebanyak RM35,000 daripada peti simpanan berkenaan dan RM25,000 daripadanya digunakan untuk membayar hutang along manakala bakinya untuk berjudi.

Beliau berkata, polis turut merampas satu telefon bimbit dan wang tunai RM650 daripadanya.

Katanya, suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah dan bebas daripada pengaruh dadah itu, kini direman hingga Ahad ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

- Bernama

Artikel Berkaitan: