X

Kindly register in order to view this article
!

Nyaris tertinggal anak dalam kebakaran

Rafidah menidurkan anak bongsunya, Mohd Hadi Alsarip, 2, ketika ditempatkan di pusat pemindahan sementara Dewan Sembulan, Kota Kinabalu
A
A

KOTA KINABALU - Akibat terlalu panik rumah terbakar, seorang ibu nyaris tertinggal anak bongsunya yang sedang tidur di buaian dalam kejadian di Kampung Lok Urai Siasi, Pulau Gaya, pada malam Khamis.

Rafidah Nestor, 29, bersama empat anak dan ibunya tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka antara 73 rumah yang musnah dalam kejadian itu.

Menurut Rafidah, dia menyedari kejadian itu kira-kira jam 8.10 malam apabila terdengar jeritan memaklumkan ada kebakaran.

"Saya terus membawa anak-anak keluar menyelamatkan diri namun beberapa saat kemudian, baru saya teringat anak saya yang berusia dua tahun (Mohd Hadi Alsarip) berada dalam buaian dan segera meminta ibu berpatah balik untuk mengambilnya," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara di Dewan Sembulan, Kota Kinabalu pada Jumaat.

Menurut seorang lagi mangsa, Norhaidah Kasman, 18, ketika kejadian mereka sekeluarga baru sahaja selesai makan.

"Melihat api semakin marak, kami segera keluar dan tidak sempat menyelamatkan pakaian dan buku sekolah tiga anak saudara saya," katanya.

Mohd Shafie melawat mangsa kebakaran di Dewan Sembulan, Kota Kinabalu.
Mohd Shafie melawat mangsa kebakaran di Dewan Sembulan, Kota Kinabalu.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Ir Shahelmey Yahya berkata, penduduk yang terjejas dalam kebakaran ini ditempatkan di dua penempatan sementara iaitu Dewan Sembulan dan Dewan Likas.

Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika ditemui di dewan itu turut mencadangkan supaya pos bomba di atas air dibina di Pulau Gaya bagi menangani isu kesukaran memadam kebakaran di kawasan perumahan atas air.

"Kejadian ini bukan pertama kali berlaku dan kita harus ambil iktibar iaitu bukan saja memberi bantuan semata-mata tetapi perlu melihat semula berhubung pembinaan rumah di pesisir laut atau pulau.

"Macam di Semporna, kita sudah ada bomba floating dan apabila berlaku sesuatu kebakaran, prasarana sudah ada untuk memudahkan memadam kebakaran. Jadi kita harus lihat perkara ini untuk ditambah baik," katanya.

Sebanyak 73 rumah membabitkan kira-kira 300 mangsa terjejas dalam kebakaran itu.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!