Pasangan kekasih langgar polis dihadap ke mahkamah

Pasangan kekasih yang melanggar anggota polis di parkir sebuah restoran makanan segera Selasa lalu, didakwa di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi pada Jumaat.
Pasangan kekasih yang melanggar anggota polis di parkir sebuah restoran makanan segera Selasa lalu, didakwa di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi pada Jumaat.
A
A
A

BANDAR BARU BANGI - Pasangan kekasih yang melanggar anggota polis di parkir sebuah restoran makanan segera Selasa lalu didakwa di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi di sini pada Jumaat.

Muhammad Asraf Zulkefli, 19, didakwa dengan dua pertuduhan mengaku bersalah manakala kekasihnya, Umiezatul Asyikin Nasrun, 20, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan sama bersubahat.

Kedua-duanya membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Effandi Nazila Abdullah yang bertindak sebagai Majistret.

Mengikut pertuduhan pertama, Muhammad Asraf didakwa menyebabkan kecederaan ke atas anggota polis Mohamad Amirul Yahya yang sedang menjalankan tugas di tempat letak kereta sebuah restoran makanan segera Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, di sini jam 10.30 malam, 9 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Muhammad Asraf didakwa melakukan khianat dengan sengaja merosakkan handle bar, ekzos, rim sukan (sport rim) dan nombor pendaftaran belakang motosikal milik anggota polis sama sehingga menyebabkan kerugian RM1,060 pada waktu, tarikh dan tempat sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara tidak kurang setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Umiezatul Asyikin turut didakwa atas dua pertuduhan sama yang mana kesalahan tersebut dilakukan hasil daripada persubahatan yang didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman yang sama.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Pendakwa Raya, Muhd Fauzan Mohd Nor mencadangkan Muhammad Asraf diberi ikat jamin sebanyak RM10,000 sementara menunggu laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan jumlah sama turut ditawarkan kepada Umiezatul Asyikin.

Mahkamah kemudian membenarkan mereka diikat jamin masing-masing RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 12 April ini untuk sebutan semula kes.

Pada Rabu, media melaporkan tindakan sepasang kekasih melanggar anggota motosikal peronda ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan di kawasan parkir restoran makanan segera, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, di sini mengundang padah apabila mereka akhirnya ditahan.

Dalam kejadian itu menyebabkan seorang anggota polis cedera ringan selepas dilanggar pasangan berusia 20 tahun dan 19 tahun berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, ketika kejadian anggota dari Balai Polis Bandar Baru Bangi melakukan rondaan di kawasan terbabit jam 10.30 malam sebelum mereka terserempak sebuah kereta dengan enjin dihidupkan dalam keadaan mencurigakan di kawasan parkir itu.

Anggota terbabit menghampiri kereta berkenaan dan cuba membuat pemeriksaan dengan menyuluh serta mengetuk cermin kereta itu yang mana terdapat seorang lelaki dan wanita.

Sejurus selepas pasangan ini mengetahui kehadiran polis dan diarahkan keluar, lelaki itu terus memandu kereta dan cuba melarikan diri dengan melanggar motosikal serta seorang anggota yang berada di hadapan kereta berkenaan.