PBAPP keluar amaran pertama situasi air

Jaseni menunjukkan carta kapasiti air dan jumlah hujan bagi Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang pada Jumaat.
Jaseni menunjukkan carta kapasiti air dan jumlah hujan bagi Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang pada Jumaat.
A
A
A

GEORGETOWN - Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengeluarkan amaran pertama situasi bekalan air di negeri ini susulan musim kering pada tahun ini dengan jumlah hujan yang maksimum.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Jaseni Maidinsa berkata, jumlah hujan bagi tempoh 1 Januari hingga 11 Mac (Khamis) tahun ini di Empangan Air Itam mencatatkan hanya 123 milimeter (mm) berbanding purata hujan bagi tempoh sama untuk empat tahun lalu (2017-2020) iaitu 315.3 mm.

Menurutnya, bagi Empangan Teluk Bahang pula, jumlah hujan yang dicatatkan adalah 53.5 mm berbanding purata bagi tempoh sama (2017-2020) adalah 555.5 mm.

"Perbezaan jumlah hujan pada tahun ini dengan purata empat tahun lalu dilihat amat ketara iaitu 61 peratus bagi Empangan Air Itam dan 90.4 peratus Empangan Teluk Bahang.

"Oleh demikian, lamgkah kawalan kejuruteraan bekalan air cuaca kering sudah dimulakan di Pulau Pinang kerana hujan minimum di kawasan tadahan air di dua empangan mencatatkan penurunan yang ketara," katanya kepada pemberita di Empangan Air Itam, di sini pada Jumaat.

Jelasnya, PBAPP perlu melepaskan simpanan air di kedua-dua empangan setiap hari untuk menampung bekalan air di kawasan perkhidmatan utama.

Tambahnya, dalam tempoh sama, kapasiti efektif Empangan Air Itam menurun daripada 95.2 peratus kepada 77.3 peratus manakala Empangan Teluk Bahang menurun 2 peratus iaitu daripada 58.7 peratus kepada 56.7 peratus.

"Kapasiti efektif Empangan Air Itam mencatatkan penurunan sebanyak 17.9 peratus iaitu daripada 95.2 peratus kepada 77.3 peratus. Kedua-dua empangan tidak penuh 100 peratus sejak 1 Januari lalu kerana hujan tidak mencukupi pada 2019 dan 2020.

Artikel Berkaitan:

"Pulau Pinang kini berada dalam musim kering tahunan, dengan hujan hanya dijangka pada April atau Mei ini. Oleh kerana perubahan iklim, sukar untuk meramalkan jumlah hujan pada April atau Mei," katanya.

Jaseni berkata, PBAPP mengambil beberapa langkah untuk memastikan kapasiti air untuk penggunaaan penduduk Pulau Pinang tidak terjejas.

"Antara langkah yang diambil adalah memantau kapasiti empangan di Pulau Pinang dan Kedah, serta paras air Sungai Muda setiap hari dan mengoptimumkan pelepasan harian dari Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang.

"Selain itu, kita juga akan memaksimumkan abstraksi air dari Sungai Muda di muka sauk Lahar Tiang dan mengepam air mentah ke Loji Rawatan Air Sungai Dua untuk pengeluaran air terawat dan mengoptimumkan pengeluaran air dari Loji Rawatan Air Sungai Dua dan mengepam air terawat dari loji itu ke bahagian pulau melalui saluran paip dasar laut.

"PBAPP juga akan melepaskan air mentah dari Empangan Mengkuang di Seberang Prai untuk menampung pengeluaran air di Loji Rawatan Air Sungai Dua jika perlu. Kapasiti efektif di empangan itu adalah 94.9 peratus sehingga semalam," katanya.

Jelasnya, PBAPP akan mencadangkan operasi pembenihan awan kepada kerajaan negeri Pulau Pinang bagi tahun ini.

"Objektifnya adalah untuk mencapai kapasiti efektif minimum 80 peratus di Empangan Air Itam dan Teluk Bahang menjelang Disember tahun ini.

"Tahun lalu, sebanyak 15 pembenihan awan dilakukan dan jumlah sama yang dicadangkan pada tahun ini dengan kos RM450,000 yang dibiayai oleh kerajaan Pulau Pinang," katanya.