Thailand tangguh suntikan vaksin Covid-19 keluaran AstraZeneca

Suntikan vaksin Covid-19 keluaran AstraZeneca ditangguhkan oleh kerajaan Thailand selepas beberapa negara Eropah berbuat demikian. - Foto AFP
Suntikan vaksin Covid-19 keluaran AstraZeneca ditangguhkan oleh kerajaan Thailand selepas beberapa negara Eropah berbuat demikian. - Foto AFP
A
A
A

BANGKOK - Thailand telah menangguhkan suntikan vaksin Covid-19 keluaran AstraZeneca selepas beberapa buah negara berbuat demikian kerana bimbang akan berlaku pembekuan darah dalam kalangan rakyat masing-masing selepas mereka disuntik, kata seorang pegawai kesihatan negara itu pada Jumaat.

Pegawai itu yang merupakan penasihat jawatankuasa Covid-19, Piyasakol Sakolsatayadorn berkata, walaupun kualiti AstraZeneca adalah baik tetapi beberapa buah negara lain telah menangguhkan pemberian vaksin itu.

"Kita akan menangguhkan (suntikan itu)," katanya pada satu sidang akhbar seperti dilaporkan oleh AFP.

Pada Khamis, Denmark, Norway dan Iceland menggantung buat sementara penggunaan vaksin tersebut berhubung kebimbangan para penerimanya akan menghadapi masalah pembekuan darah walaupun pengeluarnya dan badan pemantau perubatan di Eropah menyatakan ia selamat digunakan.

Agensi Perubatan Eropah (EMA) memberitahu AFP bahawa maklumat yang diperoleh sebelum ini menunjukkan risiko terjadinya pembekuan darah terhadap penerima suntikan vaksin tersebut adalah tidak setinggi dalam kalangan penduduk.

Ia juga menyatakan negara-negara Eropah akan terus menggunakan vaksin AstraZeneca ketika isu tersebut disiasat.

Austria mengumumkan pada Isnin lalu bahawa ia menangguhkan suntikan vaksin itu selepas seorang jururawat berusia 49 tahun meninggal dunia akibat masalah pembekuan darah beberapa hari selepas menerima suntikan tersebut.

Lima lagi negara iaitu Estonia, Latvia, Lithuania, Luxemburg dan Itali turut menggantung pemberian vaksin tersebut. - Agensi

Artikel Berkaitan: