SPRM: Penjawat awam majoriti ditangkap rasuah

Shamshun Baharin. FOTO - SINAR HARIAN / ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Shamshun Baharin. FOTO - SINAR HARIAN / ASRIL ASWANDI SHUKOR.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati majoriti individu yang ditangkap berhubung kes rasuah sejak lebih empat tahun sehingga Februari lalu adalah dalam kalangan penjawat awam.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata, berdasarkan statistik, daripada jumlah 4,023 tangkapan iaitu 46.9 peratus atau 1,887 orang adalah penjawat awam.

“Disebabkan perkara itu, kerajaan mewujudkan Pelan Anti Rasuah Nasional kerana salah satu isu yang kita hadapi adalah rasuah dalam kalangan penjawat awam.

“Kalau kita kaitkan kepada Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dikeluarkan oleh Transparency International yang berpusat di Berlin (juga) adalah melihat isu rasuah dalam kalangan sektor awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Siri ke-238 bertajuk ‘Kalau Sayangkan Negara Kenapa Sanggup Rasuah?’ yang disiarkan menerusi dalam talian pada Khamis.

Wacana turut menampilkan dua lagi panelis iaitu Pengarah Urusan Zubedy dan Core Team #RasuahBusters, Anas Zubedy dan Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot), Brigadier Jeneral (Bersara) Datuk Mohd Arshad Mohd Raji manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Dari kiri Ismail (moderator), Anas Zubedy, Shamshun Baharin, dan Mohd Arshad. FOTO - SINAR HARIAN / ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Dari kiri Ismail (moderator), Anas Zubedy, Shamshun Baharin, dan Mohd Arshad. FOTO - SINAR HARIAN / ASRIL ASWANDI SHUKOR.

Mengulas lanjut, Shamshun Baharin mengakui pihak luar ataupun masyarakat mempunyai jangkaan yang tinggi kepada SPRM dalam membanteras amalan rasuah ini, namun SPRM mempunyai kekangan dari segi guna tenaga dan juga bajet.

Artikel Berkaitan:

“Kalau dikira seluruh Malaysia, kita ada 2,600 orang kakitangan sahaja. Itu kita kira pelbagai peringkat termasuk kumpulan sokongan.

“Malah jika dilihat di sektor operasi pula, kita hanya ada lebih kurang 600 orang sahaja yang melakukan tugas-tugas siasatan,” katanya.

Begitupun, Shamshun Baharin berkata, SPRM sentiasa mencuba untuk melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin.

“Sebab itu sebenarnya apabila Sinar Harian mewujudkan Rasuah Busters ini kita amat menyokong penuh. Sebab bagi kita kalau nakkan kejayaan perlu ada kebersamaan daripada semua pihak.

“Jadi, kita mengharapkan agar SPRM tidak berseorangan dalam melakukan tugas untuk membanteras rasuah dan salah guna kuasa dalam negara kita,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, Shamshun Baharin berkata, akta berkenaan memberi jaminan untuk melindungi pemberi maklumat berkenaan kes rasuah.

“Tetapi isu yang selalu kita hadapi sebenarnya bukan mereka takut (memberi maklumat) tetapi apa yang berlaku kadang-kadang bila mereka memberi maklumat kepada suatu agensi penguatkuasa, selepas itu mereka bercerita kepada orang lain.

“Dari segi peruntukan undang-undang, bila kita telah memberi (maklumat) kepada agensi penguatkuasa, kita tidak boleh bercerita kepada orang lain,” katanya.

Menurutnya, sekiranya individu berkenaan bercerita kepada orang lain, maka perlindungan berkenaan akan terbatal.