Lebih RM81,000 lesap gara-gara judi Toto, perniagaan tidak wujud

Mohd Wazir Mohd Yusof
Mohd Wazir Mohd Yusof
A
A
A

KUANTAN - Penantian seorang lelaki untuk mendapatkan wang RM700,000 hasil pertaruhan judi Toto 4D berakhir duka apabila individu yang membantunya untuk memenangi hadiah itu rupanya penipu.

Lebih malang, mangsa berusia 36 tahun yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat itu turut kerugian RM81,053 apabila wang dibayar untuk urusan pertaruhan itu turut lesap.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan pada Khamis selepas syak dia telah ditipu.

Menurutnya, kisah malang menimpa lelaki itu bermula pada 26 Oktober tahun lalu selepas menerima panggilan daripada seorang lelaki tidak dikenali (suspek) yang menawarkan diri untuk membantunya memenangi hadiah utama judi Toto 4D.

"Suspek juga turut mempelawa mangsa untuk menjadi rakan kongsi perniagaan yang kononnya beroperasi di Thailand.

"Mangsa yang bersetuju untuk menerima tawaran itu diminta membuat sejumlah bayaran untuk urusan sembahyang, kos guaman dan modal perniagaan bagi mendapatkan wang tersebut," katanya melalui satu kenyataan pada Jumaat.

Mohd Wazir berkata, mangsa akur dan membuat bayaran melalui 25 transaksi pembayaran ke tiga akaun bank dalam tempoh 26 Oktober hingga 15 Disember 2020 dengan jumlah keseluruhan RM81,053.

"Selepas bayaran dibuat, mangsa gagal menerima wang seperti yang dijanjikan malah dalam tempoh itu, suspek terus meminta bayaran tambahan RM4,500 namun dia tidak membuat bayaran itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mohd Wazir berkata, mangsa menunggu hampir lima bulan untuk mendapatkan wang tersebut namun sehingga laporan polis dibuat, tiada sebarang perkembangan diterima berkaitan wang itu.

"Susulan laporan polis dibuat mangsa, polis membuka kertas siasatan kes itu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Kita percaya suspek memperdayakan mangsa dengan menawarkan khidmat membantu memenangi tiket Toto 4D dan perniagaan tidak wujud,"katanya.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang mengesan tiga pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes itu bagi membantu siasatan.