Kuasa Agong termaktub dalam Perlembagaan

 Keputusan pengisytiharan darurat tidak boleh dipersoal atau dipertikaikan oleh sesiapa pun dalam mana-mana mahkamah. Gambar kecil: Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood
Keputusan pengisytiharan darurat tidak boleh dipersoal atau dipertikaikan oleh sesiapa pun dalam mana-mana mahkamah. Gambar kecil: Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan pengisytiharan darurat tidak boleh dipersoal atau dipertikaikan oleh sesiapa pun dalam mana-mana mahkamah kerana ia termaktub dalam Perkara 150 Fasal (8) Perlembagaan Persekutuan.

Pakar Perlembagaan, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, mahkamah juga tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar perkara itu.

“Jadi perkara ini dinyatakan dengan jelas sekali bahawa apa-apa jua dalam Perlembagaan ini berkaitan hal berpuas hati Yang di-Pertuan Agong yang disebut dalam Fasal (1) dan Fasal (2B) adalah muktamad dan konklusif dan tidaklah boleh dicabar atau dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan.

“Tiada mahkamah boleh mempunyai bidang kuasa untuk melayan atau memutuskan apa-apa permohonan, soal atau prosiding dalam apa-apa jua bentuk, atas apa-apa alasan mengenai kesahan sesuatu proklamasi di bawah Fasal (1) atau sesuatu pengisytiharan yang dibuat dalam proklamasi itu yang bermaksud seperti yang dinyatakan dalam Fasal (1).

“Mahkamah juga dinafikan bidang kuasa untuk memutuskan apa-apa soal tentang kuat kuasa berterusan proklamasi itu atau mana-mana ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) atau penerusan kuat kuasa mana-mana ordinan itu,” jelasnya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai keputusan Mahkamah Tinggi pada Khamis menolak permohonan tiga wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) bagi memulakan semakan kehakiman terhadap peranan Perdana Menteri dalam perisytiharan darurat dan penggantungan Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.

Nik Ahmad Kamal
Nik Ahmad Kamal

Mengulas lanjut, Nik Ahmad Kamal berkata, beliau sudah menjangkakan keputusan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Saya rasa ramai merasakan mahkamah akan menolak permohonan itu. Peruntukan Perkara 150 Fasal (8) ditafsirkan sebegitu untuk menolak sebarang cubaan mempersoalkan kesahihan proklamasi dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Apa jua bentuk cabaran di mahkamah nampaknya akan ditolak. Kalau pun mereka tidak mempersoalkan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk membuat proklamasi, proses untuk memohon supaya Seri Paduka Baginda mengisytiharkan darurat pada pandangan saya pun tidak boleh dipersoal.

“Misalnya mempersoalkan bahawa Perdana Menteri tiada kuasa untuk memohon darurat daripada Yang di-Pertuan Agong atas alasan beliau tidak mempunyai majoriti di Parlimen juga tidak akan berhasil,” katanya.

Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong menjalankan kuasa mengikut lunas Perlembagaan seperti dinyatakan dalam Perkara 150.

“Ia tidak bermakna Seri Paduka Baginda telah melebihi undang-undang, tidak sama sekali. Yang di-Pertuan Agong telah menjalankan kuasa Seri Paduka Baginda mengikut lunas Perlembagaan seperti yang dinyatakan oleh Perkara 150. Tidak lebih, tidak kurang,” kata beliau.