X

Kindly register in order to view this article
!

Lelaki tular ganggu tiga wanita ditahan

A
A

KOTA BHARU - Seorang lelaki dipercayai sakit mental yang dikaitkan dengan video tular mengganggu tiga wanita tanpa berseluar ditahan polis pada Rabu ketika hari kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, lelaki berusia 26 tahun itu ditahan pada Rabu selepas menerima laporan pengadu.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 petang semasa pengadu bersama dua raman sekerjanya berada di sebuah kedai telekomunikasi di Jalan Pintu Pong.

"Ketika kejadian seorang lelaki tidak dikenali yang memakai baju T berwarna merah dan tidak berseluar telah datang ke kedai tersebut.

"Suspek masuk ke dalam kedai sambil memegang pengadu yang juga mangsa. Pengadu bersama rakan sekerja keluar dari kedai dan menghubungi polis," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Abdul Rahim berkata, setelah menerima laporan, pihaknya telah menahan suspek sebelum menghantarnya ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk pemeriksaan dan rawatan.

Katanya, pengadu bersama rakannya tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

"Hasil siasatan mendapati lelaki ini mengalami masalah kemurungan atau mental sejak awal tahun ini dan beberapa kali pernah mendapatkan rawatan sebelum ini.

"Suspek juga tinggal bersama keluarganya di rumah yang terletak tidak berapa jauh dari tempat kejadian," katanya.

Katanya, kali terakhir suspek menerima rawatan ialah pada 4 Mac lalu dan dia baru sahaja dibenarkan pulang ke rumah.

Sebelum itu tular video berdurasi 2 minit 10 saat memaparkan tindakan seorang lelaki tidak berseluar dan hanya memakai baju T mengganggu tiga wanita sehingga mereka memanjat meja cermin bagi menyelamatkan diri.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!