Pengamal politik perlu cakna laporan kaji selidik Sinar Harian, Sin Chew Daily

SHAHRIL SUFIAN
SHAHRIL SUFIAN
A
A
A

SHAH ALAM - Pengamal politik perlu cakna laporan kaji selidik yang dilakukan Sinar Harian dan Sin Chew Daily pada Khamis.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, berdasarkan laporan yang dikeluarkan, sebanyak 14 peratus yang masih belum membuat keputusan menyokong mana-mana parti.

“14 peratus ini boleh menentukan menang atau kalah kerusi dalam Pilihan Raya Umum (PRU). Justeru, gerak kerja perlu perlu diambil kira bukan hanya sentimen ahli parti tetapi golongan atas pagar.

“Parti yang memperjuangkan hal rakyat dan menyediakan tawaran menarik akan mempunyai kelebihan dalam meraih undi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook beliau pada Khamis.

Pada Khamis, Sinar Harian dan Sin Chew Daily melaporkan hasil kaji selidik yang melibatkan seramai 24,370 responden yang didapati masih belum dapat memutuskan parti politik yang mereka akan sokong pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sementara itu, Shahril berkata, laporan yang dikeluarkan menunjukkan Pakatan Harapan (PH) masih mendapat tempat dalam hati rakyat.

"Jika diandaikan ketiga-tiga parti tersebut bergabung, hampir 35 peratus responden yang memilih PH dan itu bukan angka yang kecil," katanya.

Tambah beliau, UMNO mesti memenangi sokongan daripada bukan ahli dan penyokong tegar.

Artikel Berkaitan:

“Ini kerana UMNO menduduki tempat ketiga dalam pilihan parti yang akan disokong pada PRU akan datang.

“Dapatan ini tetap menimbulkan cabaran buat UMNO untuk terus meraih sokongan ‘non ahli’. Gerak kerja kita tidak boleh sekadar tertumpu kepada ahli sendiri tetapi beralih kepada orang UMNO,” ujarnya.

Dalam pada itu, Shahril berkata, persaingan dan pertandingan antara parti masih terbuka.

Katanya, tiada parti dan pihak boleh mendabik dada, jauh sekali angkuh.

“UMNO perlu meningkatkan populariti di mata rakyat dan tiada lagi gelombang anti PH seperti dahulu untuk kita ambil mudah.

“UMNO telah membuat keputusan tiada kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), maka UMNO perlu sahut cabaran ‘UMNO popular sebab UMNO," katanya.

Justeru, katanya, UMNO tidak boleh terlalu bergantung kepada mana-mana gagasan besar tetapi tetap terus memelihara dan memperkukuhkan persahabatan dalam Muafakat Nasional (MN).