KBS, MEDAC lancar Skim Pembiayaan Industri Sukan

Reezal Merican melancarkan Skim Pembiayaan Industri Sukan di Putrajaya pada Khamis.
Reezal Merican melancarkan Skim Pembiayaan Industri Sukan di Putrajaya pada Khamis.
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) pada Khamis melancarkan Skim Pembiayaan Industri Sukan dengan peruntukan RM20 juta bagi membantu pemain industri yang terjejas ekoran pandemik Covid-19.

Mengutamakan kalangan pengusaha dan operator premis serta fasiliti sukan, skim dilaksanakan bersama Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) dan Bank Rakyat itu turut disasar membantu memberikan sinergi baharu kepada pemain industri melalui pinjaman dana pembiyaan mudah.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, inisiatif itu mampu mewujudkan sinergi dalam aspek pembiayaan mudah bagi pengusaha dan operator fasiliti sukan pasca COVID-19.

Katanya, skim itu diyakini dapat memanfaatkan lebih 4,200 usahawan industri sukan dan rekreasi terutamanya pengusaha, operator fasiliti dan premis yang berdaftar di bawah Covid-19 Intelligent Management System (CIMS 3.0) yang dibangunkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Melalui skim ini, pemain dan usahawan industri sukan boleh membuat permohonan pembiayaan di antara jumlah minimum RM1,000 sehingga maksimum RM500,000 berdasarkan syarat-syarat ditetapkan,” katanya pada majlis pelancaran skim tersebut di Putrajaya pada Khamis.

“Saya amat berharap para usahawan industri sukan dan rekreasi di luar sana dapat mengambil peluang ini bagi menyuntik semula strategi pembangunan perniagaan masing-masing,” tambah beliau.

Turut hadir pada pelancaran skim itu adalah Timbalan Menteri MEDAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

“Menjadi harapan saya dan MEDAC agar skim pembiayaan industri sukan melalui penyaluran dana sebanyak RM10 juta kepada TEKUN Nasional dan RM10 juta Bank Rakyat dapat membantu pengusaha industri sukan di negara ini khususnya yang terjejas teruk disebabkan pandemik Covid-19,” kata Mas Ermieyati.

Artikel Berkaitan:

Skim Pembiayaan Industri Sukan melalui TEKUN Nasional adalah bagi usahawan yang mempunyai modal berbayar tidak melebihi RM300,000 sementara Bank Rakyat pula bagi usahawan yang mempunyai modal berbayar melebihi RM300,000.

KBS akan menyediakan kaunter khas TEKUN dan Bank Rakyat di Menara KBS bagi sebarang pertanyaan serta menerima permohonan daripada para pemain industri.

Bagi sebarang maklumat lanjut, syarat dan cara permohonan skim itu dapat diakses melalui pautan www.tekun.gov.my serta www.irakyat.com.my. - Bernama