Prospek emas masih dalam penilaian

HAMIDIN
HAMIDIN
A
A
A

Setiap sukan yang bakal mewakili Malaysia padaSukan SEA 2021 kini dalam proses penilaian akhir bagi melihat kemampuan untuk menyumbang kutipan pingat emas, kata Ketua Kontinjen negara yang baharu dilantik Datuk Hamidin Mohd Amin.

Beliau berkata, ia juga bagi membolehkan penetapan sasaran pingat dilakukan pada kejohanan yang bakal berlangsung dari 21 Nov hingga 2 Dis depan di Hanoi, Vietnam.

"Kita dalam fasa akhir menilai acara yang berpotensi meraih pingat terutama emas, sekali gus menetapkan sasaran pingat. Ini berikutan, setiap sukan atau acara berdepan cabaran berbeza khususnya dari aspek sesi latihan dan pendedahan dengan pertandingan kompetitif susulan pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurutnya buat masa ini, 40 sukan dengan 526 acara bakal dipertandingkan di Vietnam.

Hamidin yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata, beliau juga akan bertemu dengan setiap presiden persatuan sukan untuk mendapatkan perkembangan terkini atlet dan persiapan masing-masing dalam masa terdekat.

"Penting buat saya untuk terus mengadakan mesyuarat sehari selepas pelantikan kerana kita perlu bergerak kemas terutama dalam mengenal pasti sukan serta atlet yang akan dimuktamadkan ke Vietnam.

"Dengan situasi Covid-19, setiap sukan sememangnya berdepan cabaran hebat tetapi kita akan menanganinya secara bersama sebaik mungkin," katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan satu mesyuarat dan sesi taklimat persiapan ke Sukan SEA Vietnam diadakan di Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada Khamis..

Artikel Berkaitan:

Mesyuarat dan sesi taklimat bersama Ketua Pegawai Operasi MOM Michelle Chai dan dua pengurus besar MOM, Norhashimi Hussain dan Fong Wan Hor ialah yang pertama bagi Hamidin selepas diumumkan sebagai ketua kontinjen.

Dalam kenyataan itu, Hamidin turut menjelaskan timbalan ketua kontinjen akan dimuktamadkan sekurang-kurangnya dalam tempoh dua minggu ini.

Jawatankuasa Pemilihan akan mengadakan perbincangan pada 18 dan 19 Mac ini bagi membincangkan komposisi atlet ke Sukan SEA itu.- Bernama