UniKL, TNB berentap buru Piala Sumbangsih

Megat Azrafiq (kanan) memperkatakan sesuatu kepada para pemainnya dalam sesi latihan pada Khamis.
Megat Azrafiq (kanan) memperkatakan sesuatu kepada para pemainnya dalam sesi latihan pada Khamis.
A
A
A

Penyandang juara, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) tidak memandang rendah tentangan yang akan diberikan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam aksi Piala Sumbangsih di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Jumaat.

Ketua Jurulatih UniKL, Megat Azrafiq Termizi berkata, TNB mempunyai kelebihan selepas pasukan itu dilihat lebih serasi kerana telah beraksi tanpa tonggak import sejak saingan musim lalu.

"Kita kenal TNB sebagai pasukan yang memang 100 peratus menggunakan khidmat pemain tempatan. Untuk musim ini dengan ketiadaan tonggak import, kekuatan mereka ada pada pemain tempatan.

"Tetapi ini bukan bermakna kami tempang tanpa pemain import. Kami masih ada pemain berpengalaman dan pemain muda berbakat. Dengan barisan pemain sedia ada, kami yakin mampu menandingi mereka," katanya.

Saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) musim ini akan dilangsungkan tanpa penampilan pemain import ekoran pandemik Covid-19 yang menyaksikan pintu sempadan negara masih ditutup buat masa ini.

Penolong Jurulatih TNB, Muhammad Amin Rahim pula berkata, barisan pemainnya berada pada prestasi terbaik untuk mencipta kemenangan dalam aksi Piala Sumbangsih kali ini.

"Saya sedar UniKL ada 10 pemain kebangsaan sama seperti kami. Namun, pemain yang bermain dengan UniKL seperti Marhan Jalil, Tengku Ahmad Tajudin (Abdul Jalil) dan Muhammad Razie (Abdul Rahim) sememangnya tonggak utama pasukan.

"Apa pun bagi saya, pasukan mana yang fokus dan pandai ambil peluang akan menang perlawanan itu nanti. Saya hanya berharap para pemain dapat mengikut taktikal yang diatur berdepan UniKL," katanya.

Artikel Berkaitan: