Maut selepas ziarah adik meninggal dunia

Anggota bomba mengeluarkan dua mangsa yang cedera parah dalam kemalangan di Kilometer 54 Jalan Kluang-Mersing, Mersing pada Khamis.
Anggota bomba mengeluarkan dua mangsa yang cedera parah dalam kemalangan di Kilometer 54 Jalan Kluang-Mersing, Mersing pada Khamis.
A
A
A

MERSING - Seorang lelaki bersama-sama isteri yang baru balik menziarahi jenazah adiknya, maut dalam kemalangan di Kilometer 54 Jalan Kluang-Mersing di sini pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, Rosnan Arif, 70, dan isteri, Aminah Kadir, 64, menziarahi jenazah Rosli Arif, 56, yang meninggal dunia akibat kencing manis di Kampung Paya, Kluang pada sebelah pagi.

Anak saudara Rosnan, Mohd Khairi Rosli, 33, berkata, selepas menziarahi jenazah bapanya, bapa dan ibu saudaranya itu bertolak balik ke rumah mereka di Felda Nitar 2 di sini.

"Dalam perjalanan pulang, bapa dan ibu saudara yang menaiki kereta Proton Waja terlibat kemalangan. Mungkin bapa saudara saya terlalu letih semasa memandu kerana malam tadi (Rabu) penduduk di kawasannya meninggal dunia.

"Arwah bapa saudara saya itu terlibat menggali kubur penduduk yang meninggal dunia itu. Pada awal pagi, bapa dan ibu saudara terpaksa bertolak ke rumah saya pula untuk menziarahi jenazah bapa saya di Kampung Paya," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, kemalangan melibatkan kereta dipandu Rosnan dengan sebuah treler jenis Volvo yang membawa muatan pasir.

Katanya, treler itu dalam perjalanan dari arah Mersing menuju Kluang.

Semasa tiba di tempat kejadian, katanya, kereta mangsa hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan lalu merempuh kenderaan berat tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa iaitu pemandu kereta itu meninggal dunia di tempat kejadian dan dirujuk ke Unit Forensik Hospital Mersing untuk bedah siasat.

"Isterinya pula meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Mersing ketika sedang menerima rawatan. Pemandu treler tidak mengalami kecederaan," katanya ketika dihubungi.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.