Lebih RM200 bilion dana pelaburan untuk naik taraf infrastruktur air

Tuan Ibrahim (tengah) melihat buku 'Seratus Antologi Puisi Alam Sekitar Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA)' pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Pertama KASA hari ini. - Foto Bernama
Tuan Ibrahim (tengah) melihat buku 'Seratus Antologi Puisi Alam Sekitar Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA)' pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Pertama KASA hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Sejumlah RM280 bilion dana pelaburan diperlukan untuk menaik taraf infrastruktur sektor air demi kelangsungan bekalan air negara dalam jangka panjang, kata Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata, langkah itu perlu dilaksanakan kerana sektor air memerlukan anjakan dan pendekatan baharu setanding sektor utiliti lain di negara ini.

"Satu kerangka model pendanaan baharu yang mesra pelabur dikemukakan (bagi tujuan itu)," katanya pada majlis sambutan ulang tahun pertama Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) di sini pada Khamis.

Dalam sidang akhbar kemudian, Ketua Setiausaha KASA, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang berkata, RM40 bilion diperlukan bagi kerja penggantian paip air lama dan usang di seluruh negara berikutan jangka hayat paip air adalah sehingga 45 tahun.

“Ada antara paip air di negara ini yang sudah berusia 30 tahun dan perlu dibaiki bagi memberikan perkhidmatan bekalan air kepada pengguna,” katanya.

Ditanya mengenai perkembangan projek penggantian paip lama di Kelantan, Zaini berkata, kerja-kerja penggantian sedang berjalan.

“Di Kelantan, sebahagian paip air adalah paip yang sudah lama. Maka sudah pasti akan diganti dan kami jangkakan kos yang besar,” katanya.

Untuk rekod, kira-kira 4,000 kilometer (km) daripada lebih 8,000km paip air di Kelantan adalah paip lama yang perlu ditukar kerana berdepan risiko mudah bocor. - Bernama

Artikel Berkaitan: