PATI terjun bukit, rempuh anggota imigresen

PATI yang ditahan dalam operasi bersepadu di Durian Tunggal, Alor Gajah pada malam Rabu.
PATI yang ditahan dalam operasi bersepadu di Durian Tunggal, Alor Gajah pada malam Rabu.
A
A
A

ALOR GAJAH - Sanggup terjun ke cerun bukit dan merempuh pegawai operasi Jabatan Imigresen merupakan antara cubaan berani pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk meloloskan diri daripada serbuan di sebuah rumah kongsi di Durian Tunggal dekat sini pada malam Rabu.

Dalam operasi bersepadu kira-kira jam 11 malam itu, seramai 24 orang PATI warga Indonesia dan enam warga Bangladesh termasuk tiga wanita berusia 23 hingga 45 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

Timbalan Pengarah Imigresen Melaka, K Vishnutharan berkata, ketika serbuan, terdapat PATI cuba melarikan diri dan merempuh pegawai operasi bertugas selain bersembunyi di bawah rumah kongsi.

Malah, katanya, ada yang sanggup terjun ke kawasan cerun bukit berhampiran kawasan rumah kongsi untuk melepaskan diri.

Bagaimanapun, katanya, usaha tersebut gagal dan kesemua PATI itu berjaya ditahan dan dibawa ke Pusat Kesihatan Daerah Batu Berendam bagi menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum dihantar ke depot tahanan imigresen untuk siasatan lanjut.

Seorang PATI warga Bangladesh bersembunyi di bawah rumah kongsi ketika serbuan di Durian Tunggal, Alor Gajah pada malam Rabu.
Seorang PATI warga Bangladesh bersembunyi di bawah rumah kongsi ketika serbuan di Durian Tunggal, Alor Gajah pada malam Rabu.

"Jabatan Imigresen juga mengesan beberapa kes warga asing yang menyalahgunakan kemudahan untuk tinggal di negara ini dengan tidak keluar pulang ke negara asal tetapi bekerja secara haram di negara ini.

"Justeru, kita memberi amaran kepada warga asing khususnya PATI yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta atau Peraturan Imigresen tidak akan terlepas daripada tangkapan dan pendakwaan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, operasi yang disertai seramai 34 orang pegawai imigresen dibantu 20 orang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) telah memeriksa seramai 74 warga asing.

"Kesemua mereka yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63," katanya.