Lima premis jalankan kegiatan judi diserbu

A Asmadi menunjukkan antara peralatan yang digunakan bagi tujuan perjudian ketika serbuan di sebuah premis di Jalan Kuala Kangsar, Ipoh pada Khamis.
A Asmadi menunjukkan antara peralatan yang digunakan bagi tujuan perjudian ketika serbuan di sebuah premis di Jalan Kuala Kangsar, Ipoh pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Polis menyerbu lima premis yang menjalankan kegiatan judi ekor haram dan pertaruhan haram di sekitar bandar raya ini pada Khamis.

Lebih mengejutkan, dua pekerja sebuah premis di Jalan Kuala Kangsar di sini masih menjalankan transaksi judi ekor tersebut biarpun anggota polis sedang menjalankan operasi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, operasi yang bermula pada petang itu disertai sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Beliau berkata, kesemua premis yang diserbu dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik oleh TNB mengikut Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

"Kita dapat lihat sendiri bagaimana kegiatan ini berlaku apabila semasa kita sedang berurusan untuk membuat pemotongan itu, kita dapati dia masih menjalankan aktiviti perjudian itu.

"Jadi kita jalan terus buat tangkapan ke atas dua lelaki itu yang merupakan pekerja premis dan kita akan berterusan untuk mengambil tindakan," katanya kepada pemberita selepas operasi di sebuah premis di Jalan Dato' Tahwil Azar di sini pada Khamis.

A Asmadi berkata, operasi tersebut dijalankan setelah risikan dan pemantauan pihaknya ke atas premis berkenaan yang menjalankan kegiatan tersebut sejak enam bulan lalu.

Bukan itu sahaja, malah katanya, premis terbabit pernah diambil tindakan sebelum ini malah tidak serik diserbu beberapa kali.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kebanyakan premis yang diserbu dalam operasi sebelum itu berselindung di sebalik perniagaan menjual telefon bimbit dan kad tambah nilai.

"Kita dapati modus operandi mereka berubah-ubah. Jika sebelum ini kegiatan itu berlaku di kedai-kedai menjual 'top up' tetapi kali ini melibatkan kedai-kedai menjual 'hardware', perabot, pusat snuker, kedai pakaian dan kedai peralatan sembahyang.

"Bayangkan bagaimana cabaran dihadapi polis membanteras aktiviti ini kerana ia memberi impak yang tidak bagus kepada masyarakat. Saya merayu kepada orang awam supaya dapat terus memberikan maklumat kepada polis," katanya.