Orang asli saman 14 entiti termasuk kerajaan Kelantan

Peguam, Sachpreetraj Singh Sohanpal (kiri) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur ketika sidang media berhubung kes saman orang asli terhadap 14 entiti termasuk kerajaan Kelantan pada Khamis.
Peguam, Sachpreetraj Singh Sohanpal (kiri) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur ketika sidang media berhubung kes saman orang asli terhadap 14 entiti termasuk kerajaan Kelantan pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seramai tiga pemuda yang mewakili penduduk di dua perkampungan orang asli di Gua Musang memfailkan saman terhadap 14 entiti termasuk kerajaan negeri Kelantan berkenaan isu pencerobohan tanah pusaka milik nenek moyang mereka.

Saman itu difailkan oleh Ahak Uda, 54, Aziz Angah, 33, dan Anjang Uda, 30, selaku plaintif melalui Tetuan Raj & Sach menerusi e-filing di Mahkamah Kota Bharu pada Khamis.

Mereka menamakan Syarikat Perlombongan Gua Musang Sdn Bhd, Redstar Capital Sdn Bhd, Aqua Orion Sdn Bhd, Damai Corporate Services Sdn Bhd, Sindiyan Sdn Bhd dan Sindiyan Agro Park Sdn Bhd, Ladang Kelantan Sdn Bhd, Ikrar Bumi Sdn Bhd, Ladang Ulu Nenggiri Sdn Bhd, Iliasco Engineering & Construction Sdn Bhd sebagai defenden pertama hingga ke-10.

Selain itu, ia turut membabitkan Pejabat Tanah Dan Galian Negeri Kelantan, Pejabat Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakos) dan kerajaan negeri Kelantan selaku defendan ke-11 hingga ke-14.

Menerusi pernyataan tuntutan berkenaan, plaintif menuntut deklarasi bahawa Orang Asli Kampung Kelaik adalah pemegang hak milik adat tanah nenek moyang.

Ia merujuk kepada sempadan kawasan yang dihuni oleh kaum Temiar seperti mana yang tertera di Peta Tanah dan Wilayah Adat Orang Asli Temiar, Kampung Kelaik, Gua Musang di Kelantan.

Mereka menuntut deklarasi bahawa pengeluaran lesen atau kebenaran kepada defendan pertama sehingga ke-10 adalah bertentangan dengan undang-undang dan ia tidak sah serta terbatal.

Plaintif juga memohon kepada mahkamah agar mengeluarkan perintah bahawa tindakan defendan pertama sehingga ke-10 yang memasuki tanah nenek moyang mereka sebagai suatu pencerobohan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, ia merujuk kepada deklarasi bahawa defendan ke-11 sehingga ke-14 dan ejen-ejennya tidak mempunyai hak di sisi undang-undang untuk mengurangkan, memusnahkan hak-hak orang asli itu daripada menjalankan aktiviti yang telah dikenal pasti dan diperincikan dalam dokumen Pernyataan Tuntutan.

“Khususnya, tindakan ini berkaitan dengan orang asli di Semenanjung Malaysia dari kaum Temiar yang hidup sejak turun-temurun iaitu dari generasi ke generasi sebagai komuniti di Kampung Kelaik dan Kampung Cabil, Pos Blau, Gua Musang, Kelantan.

“Mereka menduduki, menggunakan dan memiliki tanah tersebut dari generasi ke generasi serta mengutip hasil hutan sebagai punca pendapatan, kegunaan harian dan produk perubatan tradisional,” katanya.

Menurut mereka, akibat pencerobohan oleh defenden, pokok buluh yang tumbuh di tanah mereka musnah.

Sedangkan, katanya, tanaman itu merupakan bahan binaan penduduk orang asli untuk membina atau membaiki rumah.

Malah, kata mereka, orang asli mendakwa tanah tersebut adalah sebahagian daripada tanah pengebumian secara turun-temurun.

“Kawasan tersebut dianggap sebagai tanah suci yang tidak patut dicerobohi dan diambil oleh orang luar. Namun pencerobohan itu menyebabkan orang asli hilang hak untuk mengamalkan cara hidup, adat, kepercayaan dan kebebasan beribadah,” katanya.