Bunuh isteri: Terengganu pertimbang tanggung sekolah anak mangsa

Hanafiah (dua dari kiri) bersama pengarah JKM negeri (kanan)bertanya khabar dengan bapa arwah (dua dari kanan) di kediaman keluarga mangsa di Kampung Telaga, Hulu Terengganu pada Khamis.
Hanafiah (dua dari kiri) bersama pengarah JKM negeri (kanan)bertanya khabar dengan bapa arwah (dua dari kanan) di kediaman keluarga mangsa di Kampung Telaga, Hulu Terengganu pada Khamis.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu bersedia mempertimbangkan untuk menanggung perbelanjaan persekolahan dua anak wanita yang mati ditembak suami ketika sedang tidur di Taman Saujana, Kota Tinggi, Johor Bahru pada 1 Mac lalu.

Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga serta Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat berkata, buat sementara waktu ini, pihaknya akan melihat keperluan dan bantuan kebajikan yang bersesuaian terhadap kedua-dua beradik ini yang masing-masing berusia tiga dan empat tahun.

"Selesai sahaja urusan mahkamah tentang hak penjagaan anak-anak mangsa, kita akan salurkan bantuan bulanan iaitu RM250 setiap seorang," katanya ketika ditemui selepas ziarah keluarga mangsa di Kampung Telaga di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu, Zuhami Omar.

Sementara itu, kerajaan negeri dengan kerjasama JKM negeri akan membantu memudahkan proses tuntutan hak penjagaan dua beradik itu di mahkamah bagi memastikan keluarga arwah mendapat hak tersebut.

"Ini memandangkan kedua-dua beradik itu lebih rapat dengan keluarga arwah di sini," katanya.

Mangsa berusia 38 tahun itu dipercayai ditembak dengan senapang angin kira-kira jam 2.30 pagi pada 1 Mac lalu di kediaman pasangan itu di Taman Sri Saujana, Kota Tinggi sebelum mayatnya ditanam.

Rahsia pembunuhan kejam itu terbongkar selepas jiran yang juga rakan suspek menyalurkan maklumat kepada polis ketika siasatan berhubung kes orang hilang yang dilaporkan suspek dibuat.

Artikel Berkaitan:

Lebih mengejutkan, suaminya yang berusia 43 tahun menjadi suspek utama dipercayai menembak mangsa ketika wanita berkenaan sedang tidur di kediaman mereka di Taman Saujana, Kota Tinggi, Johor Bahru.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kes berkenaan dipercayai bermotifkan cemburu selain polis turut menemui surat tuntutan fasakh di kediaman berkenaan.

Kes bermula apabila jiran mereka membuat laporan berkaitan kehilangan ibu dua anak berkenaan, pada Isnin lalu dan membawa penahanan suami wanita itu serta seorang lagi lelaki berusia 32 tahun yang juga rakan baiknya pada keesokan harinya bagi membantu siasatan.

Hasil siasatan awal ke atas suami wanita itu, suspek mendakwa isterinya keluar rumah pada pagi Isnin lalu kira-kira jam 2 pagi dan tidak pulang sejak itu.

Bagaimanapun, suami mangsa yang juga seorang pemandu jengkaut akhirnya mengaku membunuh isterinya ketika wanita berkenaan sedang tidur dengan menggunakan senapang angin.

ARTIKEL BERKAITAN Angkara cemburu, suami tembak mati isteri