Ahli perniagaan dituduh pecah amanah RM145,680

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan melakukan pecah amanah wang berjumlah RM145,680 dua tahun lepas.

Bagimanapun, Tau Fook Yuen, 52, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Lelaki itu didakwa melakukan pecah amanah jenayah ke atas wang berjumlah RM145,680 yang telah diamanahkan kepadanya di Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, Sentul antara 7 Jun sehingga 1 Disember 2019, mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pengadu dalam kes ini merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Arthur Joseph Kurup.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Khairiyah Shamsudin tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin, namun peguam R Sivaraj yang mewakili tertuduh memohon jaminan ditetapkan pada RM5,000 kerana anak guamnya masih bujang dan perlu menjaga ibu bapanya yang sakit.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan, perlu melapor diri di balai polis berdekatan pada 2 haribulan setiap bulan dan menetapkan 15 April ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen. - Bernama

Artikel Berkaitan: