Covid-19: 1,647 kes positif, sembilan kematian

Dr Noor Hisham - Foto Bernama
Dr Noor Hisham - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Malaysia mencatat 1,647 kes baharu Covid-19 dengan sembilan kematian pada Khamis, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, kes sembuh pula adalah 2,104 menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh dalam negara adalah 300,620.

“Daripada kes baharu hari ini (Khamis), ia melibatkan kes tempatan sebanyak 1,642 kes iaitu 1,102 warganegara dan 540 bukan warganegara, manakala lima lagi adalah kes import,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19.

Dr Noor Hisham berkata, Selangor masih melaporkan kes harian baharu paling tinggi iaitu 712 kes, diikuti Johor (170 kes) dan Pulau Pinang (169 kes).

Sementara itu, sebanyak 147 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 61 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata, sembilan kematian yang direkodkan pada Khamis kesemuanya melibatkan warga tempatan dengan empat kes di Selangor; dua di Johor dan masing-masing satu kes di Perak, Kelantan serta Kuala Lumpur.

Sementara itu, beliau berkata, lima lagi kluster baharu dikenal pasti melibatkan tiga kluster berkaitan tempat kerja serta masing-masing satu kluster berkaitan komuniti dan pusat tahanan.

“Kluster tempat kerja dikesan di Johor iaitu Teknologi Tenggara dan Jalan Masyhur Enam serta satu di Selangor iaitu Tapak Bina Jalan Kenangan. Kluster komuniti dikesan di Jambatan Satu Bombalai (Sabah) dan kluster pusat tahanan iaitu DTI Machap Umboo, Melaka,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ini menjadikan jumlah kluster aktif kini 440 kluster dengan 65 daripadanya mencatatkan pertambahan kes baharu pada Khamis.

"Kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada Khamis adalah Kluster Tapak Bina Queens Waterfront iaitu 70 kes, Kluster Industri Sungai Gadut (68 kes) dan Kluster DTI Machap Umboo (67 kes)," katanya. - Bernama