Polis bongkar kegiatan curi elektrik lombong bitcoin di Lipis

Anggota polis melakukan serbuan ke atas premis yang diubahsuai untuk aktiviti melombong bitcoin menggunakan elektrik curi di Lipis.
Anggota polis melakukan serbuan ke atas premis yang diubahsuai untuk aktiviti melombong bitcoin menggunakan elektrik curi di Lipis.
A
A
A

LIPIS - Polis berjaya membongkar kegiatan mencuri elektrik bagi tujuan perlombongan mata wang bitcoin yang berselindung di sebalik kedai membaiki motosikal dan premis perniagaan di Kuala Lipis di sini.

Kegiatan disyaki didalangi dua suspek berusia 25 dan 29 tahun itu terbongkar hasil pemantauan pihak polis dibantu kakitangan syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) ke atas sebuah premis di Pusat Perniagaan Lipis Jaya di sini pada Rabu minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, susulan penahanan suspek di Gua Musang pada Rabu (9 Mac), pihaknya berjaya mengesan sebuah lagi premis yang menjalankan kegiatan itu di jalan pintasan Tempoyang di sini.

Menurutnya, susulan serbuan ke atas dua premis tersebut, pihaknya merampas 127 mesin melombong bitcoin, perkakasan komputer, modem dan papan suis utama pendawaian elektrik uang diubah suai untuk digunakan dalam kegiatan itu.

"Suspek yang berasal dari Perak dan Johor kini direman hingga Sabtu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 379 dan 427 Kanun Keseksaan," katanya.

Azli berkata, kegiatan itu berjaya dibongkar setelah pihaknya memantau sebuah premis membaiki motosikal di Pusat Perniagaan Lipis Jaya yang ditutup, namun didapati ada aktiviti mencurigakan di tingkat atas.

"Dalam pemantauan awal, kita dapati kedengaran bunyi angin yang kuat dari tingkat atas dan disyaki wujud kegiatan melombong bitcoin dengan mencuri elektrik kerana tiada papan suis utama di hadapan premis tersebut.

"Berdasarkan maklumat itu, kita melakukan serbuan dengan memecah masuk premis berkenaan dan mendapati ia telah diubah suai dengan menempatkan 70 mesin bitcoin pada ruang belakang.

Artikel Berkaitan:

"Ketika serbuan dilakukan, semua mesin sedang beroperasi dan hasil pemeriksaan pihak TNB mendapati terdapat kabel elektrik yang disambung secara tidak sah," katanya.

Katanya, hasil siasatan lanjut, suspek mendedahkan terdapat sebuah lagi premis menjalankan kegiatan isama di Jalan Pintasan Tempoyang yang menempatkan 57 mesin bitcoin.