X

Kindly register in order to view this article
!

Hubungan kerjasama KL- Abu Dhabi tanpa batas: PM

Muhyiddin (kiri) menghadap Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan pada Rabu. - Foto Bernama
A
A

ABU DHABI - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menetapkan kerjasama tanpa had (sky is the limit) dalam hubungan bilateral antara Abu Dhabi dan Kuala Lumpur.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, komitmen tersebut disampaikan oleh Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan dalam pertemuannya dengan pemimpin UAE itu di sini pada Rabu.

“Ungkapan ‘the sky is the limit’ digunakan oleh Putera Mahkota apabila merujuk kepada kerjasama kedua-dua negara,” katanya pada sidang akhbar bersama wartawan Malaysia pada Khamis.

Muhyiddin berkata, pada pertemuan berkenaan, Putera Mahkota menggambarkan hubungan kedua-dua sebagai erat dan luar biasa.

Katanya, UAE memberikan komitmen bahawa akan menggandakan jumlah perdagangan dua hala hingga lima kali ganda nilai berbanding AS$3 billion (RM12.31 bilion) ketika ini.

“Semasa perbincangan, saya menyebut bahawa perdagangan dua hala kita perlu ditingkatkan dan Putera Mahkota menjawab: Dipersetujui lima kali,” kata Muhyiddin.

Menurut beliau, UAE turut berhasrat mahu menggandakan pelaburan di Malaysia dengan pelaburan UAE di Malaysia kini berjumlah AS$1.6 bilion (RM6.56 bilion).

"UAE belum menetapkan tempoh masa untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan di Malaysia dan kita mesti bertindak pantas,” katanya.

Semasa perbincangan, katanya, beliau berkongsi rancangannya dengan Putera Mahkota untuk melaksanakan pendidikan digital untuk semua enam juta pelajar Malaysia.

“Satu kejutan bagi saya apabila Putera Mahkota berkata: Dianggap dilakukan dan saya terkejut. Saya tidak pasti tentang kos. Ia boleh sekitar RM3 hingga RM4 bilion kerana ia melibatkan gajet, kandungan, perisian dan ekosistem.

“Saya berasa lega kerana rancangan itu boleh direalisasikan dengan bantuan daripada Putera Mahkota. Isu pendidikan dekat di hati baginda,” kata beliau.

Muhyiddin berkata, peningkatan perdagangan dan pelaburan daripada UAE di Malaysia sudah tentu akan memberi manfaat negara dan rakyat Malaysia menerusi pewujudan lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan.

Katanya, beliau mungkin akan membentuk jawatankuasa atau pasukan petugas dalam memastikan pelaksanaan hasil pertemuan itu.

"Kita tidak boleh tunggu dan lihat. Kita perlu bertindak pantas. Kita perlu mengenal pasti bidang perdagangan dan pelaburan, contohnya, infrastruktur, pengangkutan dan perladangan sama ada melibatkan kerajaan, GLC (syarikat berkaitan kerajaan) atau projek swasta dan mengemukakan cadangan itu kepada mereka," katanya.

Muhyiddin juga berkata, UAE berminat untuk belajar dari Malaysia cara Kuala Lumpur membantu usahawan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Beliau berkata, kedua-dua negara juga bersetuju untuk mewujudkan kerjasama diplomasi keselamatan makanan dalam memastikan bekalan makanan yang mencukupi sekiranya berlaku sebarang krisis yang tidak diingini pada masa akan datang berikutan pandemik Covid-19.

Muhyiddin berkata, akan ada hab di Kuala Lumpur dan Abu Dhabi dan inisiatif itu akan menggalakkan pembangunan industri makanan di Malaysia.

Sempena lawatan rasmi Muhyiddin itu, satu memorandum persefahaman (MoU) mengenai penubuhan Kerjasama Diplomasi Keselamatan Makanan dimeterai oleh kedua-dua negara tersebut.

Selain itu, dua lagi MoU dimeterai berkaitan dengan penubuhan Kursi Sheikh Zayed Al Nahyan iaitu bapa pengasas UAE di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) serta mengenai kerjasama dalam bidang latihan diplomat.

Muhyiddin juga mengadakan pertemuan dengan Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, Naib Presiden dan Perdana Menteri dan Pemerintah Dubai di Dubai pada Rabu.

Awal minggu ini, Muhyiddin mengadakan lawatan rasmi empat hari ke Arab Saudi.

Kedua-kedua lawatan rasmi tersebut dilakukan di bawah pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah Covid-19.

Perdana Menteri akan pulang ke tanah air Khamis ini. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!