X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 27 November 2021

Lelaki dipercayai tokan antara tujuh individu ditahan ketika jual beli dadah

Sebahagian daripada dadah yang dirampas polis dalam serbuan di Kampung Jambu Bongkok, Marang pada Ahad. Gambar kecil: Mohd Zain. - Foto: IPD Marang
A
A

MARANG- Polis memberkas tujuh individu yang sedang sibuk menjalankan urus niaga dadah di sebuah rumah dipercayai milik tokan dadah di Kampung Jambu Bongkok di sini pada Ahad.

Dalam serbuan kira-kira jam 9 malam, kesemua lelaki berusia antara 20-an hingga 40-an itu ditahan bersama dadah jenis pil kuda dan syabu dianggarkan bernilai RM21,382.50.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan pegawai dan anggota yang menyertai 'Ops Jihad Dadah' membuat serbuan di sebuah pondok kayu di hadapan sebuah rumah.

Beliau berkata, ketika di lokasi berkenaan, polis menahan tiga individu sebelum salah seorang daripada mereka dipercayai tokan dalam kumpulan berkenaan membawa pasukan ke sebuah rumah berhampiran.

"Setibanya di rumah itu, suspek berusia 35 tahun memberi alasan kunci rumahnya hilang sehingga anggota polis terpaksa mengambil keputusan memecahkan pintu belakang rumah.

"Hasil pemeriksaan dilakukan, polis menemui satu kotak telefon bimbit mengandungi dadah jenis pil kuda dianggarkan bernilai RM18,000 dan syabu RM3,382.50," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata, ketika anggota polis sedang menjalankan pemeriksaan lanjut di rumah tersebut, datang empat individu dipercayai pelanggan tetap suspek yang hendak membeli dadah itu.

"Terkejut dengan kehadiran kami, mereka cuba hendak melarikan diri. Bagaimanapun ketangkasan pasukan berjaya menghalang dan menangkap kesemuanya untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati tokan dadah yang merupakan suspek utama positif pil kuda dan kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, 39A (2) ADB 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952.

"Siasatan lanjut mendapati suspek memiliki lima kes rekod lampau mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952, dua kes Seksyen 12(2) ADB 1952 dan tiga kes mengikut Seksyen 39A(1) ADB 1952," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!