[DIKEMASKINI] Kalimah ALLAH: Jakim, Pejabat Mufti WP bincang esok

Zulkifli (tengah) beramah mesra bersama pelajar asnaf UTM yang menerima sumbangan komputer riba pada majlis penyerahan sumbangan itu di Menara Tabung Haji hari ini. - Foto Bernama
Zulkifli (tengah) beramah mesra bersama pelajar asnaf UTM yang menerima sumbangan komputer riba pada majlis penyerahan sumbangan itu di Menara Tabung Haji hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - [DIKEMASKINI] Perbincangan melibatkan beberapa pihak berkaitan agama Islam akan diadakan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah ALLAH di dalam penerbitan pendidikan agama itu.

Difahamkan perbincangan secara dalaman yang dijadual berlangsung pada Jumaat itu akan melibatkan bahagian akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, masih terlalu awal untuk memberikan sebarang ulasan mengenai keputusan itu dan memerlukan pandangan pelbagai pihak.

"Selepas perbincangan dalaman ini dibuat, kita akan tengok yang terbaik dari semua aspek sama ada perundangan, agama Islam, pandangan-pandangan terdahulu dan mutakhir.

"Semua itu kita akan tengok dan masih terlalu awal untuk saya komen sebelum mendapatkan pandangan daripada semua pihak," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyerahan sumbangan komputer riba kepada pelajar asnaf Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Dewan Besar Tabung Haji Perak di sini pada Khamis.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah (Hal Ehwal Pelajar) UTM Kuala Lumpur, Profesor Madya Ir Dr Pauziah Muhamad dan Pengarah Tabung Haji Perak, Mohamad Abas.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu membenarkan penganut Kristian seluruh negara menggunakan kalimah ALLAH dalam penerbitan pendidikan agama itu.

Selain perkataan ALLAH, tiga lagi perkataan lain yang dibenarkan ialah Baitullah, Kaabah dan solat.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan ia perlu disertakan dengan penafian ‘hanya untuk orang Kristian’ dan lambang salib di hadapan kulit buku.

Dalam perkembangan lain, seramai 218 pelajar UTM dari Johor, Perak dan Pahang menerima bantuan berjumlah RM750,000 daripada Lembaga Tabung Haji menerusi inisiatif Program Iqra' kepada pelajar asnaf UTM.

ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah Tinggi benarkan penganut Kristian guna kalimah ALLAH