Gantung Parlimen: Tiga ADUN gagal mulakan semakan kehakiman

Johari, Salahuddin dan Abdul Aziz
Johari, Salahuddin dan Abdul Aziz
A
A
A

KUALA LUMPUR – Tiga ADUN gagal memulakan semakan kehakiman terhadap peranan Perdana Menteri dalam perisytiharan darurat dan penggantungan Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara apabila Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) itu pada Khamis.

Tiga wakil rakyat berkenaan ialah ADUN Simpang Jeram yang juga Ahli Parlimen Pulai, Johor, Datuk Seri Salahuddin Ayub (Amanah); ADUN Gurun yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul (PKR) dan ADUN Tebing Tinggi, Abdul Aziz Bari (DAP).

Hakim, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid memutuskan demikian selepas mendapati bahawa Perkara 150(8) Perlembagaan Persekutuan adalah sah dan berperlembagaan.

Ketika membaca penghakimannya, Ahmad Kamal berkata, keputusan Yang di-Pertuan Agong berhubung pengisytiharan darurat tidak boleh dicabar menerusi semakan kehakiman.

Menurutnya, Perkara 150(8) menutup pintu undang-undang daripada sebarang permohonan atau tindakan mencabar proklamasi dan ordinan yang di bawah undang-undang darurat

“Perlembagaan Persekutuan juga tidak menggariskan tanggungjawab dari segi undang-undang kepada responden pertama untuk bertindak dalam cara yang dikehendaki pemohon.

“Oleh itu, relif yang dipohon oleh pemohon adalah salah di sisi undang-undang,” katanya.

Dalam prosiding itu, kerajaan diwakili Peguam-peguam Kanan Persekutuan (SFC), Suzana Atan, S Narkunavathy, manakala pemohon (tiga ADUN) diwakili oleh peguam, Datuk Gurdial Singh Nijar dan Christopher Leong.

Artikel Berkaitan:

Pada 26 Januari lalu, ketiga-tiganya selaku pemohon memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman terhadap peranan Perdana Menteri dalam perisytiharan darurat dan penggantungan Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.

Dalam permohonan tersebut, ketiga-tiga ADUN itu memohon suatu deklarasi bahawa Seksyen 14 dalam Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang diterbitkan dalam Warta Kerajaan Persekutuan pada 14 Januari lalu, tidak berperlembagaan kerana ia tidak selaras dan melanggar antara lain Perkara-perkara 44, 150 (3) dan 150 (5) dalam Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu, ia terbatal dan tidak sah.

Mereka memohon deklarasi bahawa Seksyen 15 dalam ordinan adalah tidak berperlembagaan kerana ia tidak selaras dan melanggar antara lain Perkara 17, Perkara 150(2C) dan Jadual Kelapan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mereka juga memohon deklarasi bahawa Seksyen 11 (a) dan 11 (b) dalam ordinan adalah tidak berperlembagaan kerana ia melindungi eksekutif daripada peruntukan-peruntukan antara lain Perkara 43 dalam Perlembagaan Persekutuan dan bertentangan Perkara 71 dan Jadual Kelapan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pada 12 Januari lalu, Agong memberi perkenan darurat dilaksanakan hingga 1 Ogos atau lebih awal, jika jumlah kes Covid-19 dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Sebelum ini, pada 11 Februari lalu, Jabatan Peguam Negara membantah permohonan kebenaran semakan kehakiman yang dikemukakan ketiga-tiga ADUN tersebut.