X

Kindly register in order to view this article
!

Ibu kudung kaki cekal jaga dua anak OKU

Hanizah bersama dua anaknya semasa ditemui di rumah mereka di Kampung Pasir Tuntong, Bukit Rotan, Kuala Selangor pada Khamis.
A
A

KUALA SELANGOR - Meskipun kaki kanan kudung, namun seorang ibu tetap cekal menjaga dua anak orang kurang upaya (OKU) yang memerlukan penjagaan berterusan.

Hanizah Dulmat, 53, berkata, dia tidak pernah mengeluh apabila kedua-dua anaknya, iaitu Nor Khairunnisa Khairul Anuar, 29, dan Muhammad Shafiq Khairul Anuar, 26, ditakdirkan tidak normal seperti insan lain.

"Saya alami komplikasi semasa melahirkan Nor Khairunnisa kerana dia dilahirkan tidak cukup bulan dan doktor memaklumkan anak sulung saya ini mungkin cacat seumur hidup.

"Saya sekali lagi diuji apabila Muhammad Shafiq yang merupakan anak ketiga diserang demam panas dan mengalami sawan ketika berusia sebulan," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.

Ibu lima anak yang menetap di Kampung Pasir Tuntong, Bukit Rotan, di sini berkata, dia pasrah dengan ujian ALLAH meskipun kudratnya kini mula terbatas selepas kaki kanannya itu dipotong pada Januari tahun lalu.

"Saya sanggup berkorban untuk kedua-dua anak saya ini asalkan mereka cukup kasih sayang dan tidak terabai," katanya.

Hanizah berkata, dia menjalani pemotongan kaki di Hospital Sungai Buloh selepas dua bulan memasukkan kerangka besi akibat mengalami tulang rapuh disebabkan serangan penyakit kencing manis.

"Saya reda dan tetap meneruskan rutin harian seperti biasa seperti menyuap anak makan, memandi dan membasuh najis mereka," katanya.

Ujar Hanizah, segala keperluan dua anaknya itu diuruskannya sendiri selain dibantu suaminya, Khairul Anuar Abu Amal, 51, yang bekerja sendiri sebagai mekanik sebuah bengkel kereta di hadapan rumah.

"Suami memang sibuk sebab masanya tidak menentu dan jika dia berada di rumah, dia membantu menguruskan kedua-dua anak kami," katanya.

Khairul Anuar berkata, dia bergantung harap kepada sumber pendapatan purata kira-kira RM1,500 sebulan untuk menampung perbelanjaan keluarga.

"Selain itu, dua anak saya turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.

Sementara itu, nasib keluarga terbabit mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang datang menziarahi keluarga terbabit.

Ketua Divisyen Komunikasi Korporat LZS, Datin Norajun Ainun Mohd Hashim berkata, LZS menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM500 sebulan selain susu khas kepada Hanizah sebanyak RM324 sebulan serta lampin pakai buang sebanyak RM250 sebulan.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank (162133373248) atas nama Hanizah atau menghubungi mereka di talian 013-7621091.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!