Jenazah Khairul Anas selamat dikebumikan di Tawau

Jenazah Khairul Anas semasa tiba di pekarangan MASKargo sebelum dibawa pulang ke kampung halaman di Kampung Icebox, Tawau melalui jalan darat.
Jenazah Khairul Anas semasa tiba di pekarangan MASKargo sebelum dibawa pulang ke kampung halaman di Kampung Icebox, Tawau melalui jalan darat.
A
A
A

TAWAU - Jenazah rakyat Malaysia Muhammad Khairul Anas Abdu Gapal, 31, yang meninggal dunia di Gwangju, Korea Selatan pada 26 Februari lepas, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang Islam Kampung Titingan, di sini malam Rabu.

Pengebumian itu selesai pada 9.30 malam dan abang Allahyarham, Hazlan Abdu Gapal, 35, ketika ditemui pemberita mengucapkan rasa syukur dan terima kasih kepada semua pihak terlibat dengan pengurusan jenazah adiknya itu yang diterbangkan dari Korea Selatan sehingga ke Tawau, Sabah.

"Arwah adik (pekerja kontrak ladang) sentiasa dikelilingi orang baik-baik termasuk kenalan peniaga bundle di Gwangju, Korea Selatan. Meskipun adik tidak sampai dua tahun bekerja di sana, tetapi kenalannya (peniaga bundle) mengadakan jualan amal untuk kumpul dana bagi proses pengurusan jenazah," katanya dalam nada sebak.

Sebelum ini, media melaporkan mengenai ikhtiar sekumpulan peniaga bundle Malaysia di Korea Selatan mengadakan jualan amal menerusi Facebook Live pada 1 Mac lepas bagi mengumpul dana membantu penghantaran pulang jenazah rakan mereka di Gwangju ke Tawau dan berjaya mengumpul RM76,430.

Menurut Hazlan, keputusan supaya jenazah adiknya dibawa pulang ke Tawau untuk dikebumikan di tanah air merupakan keputusan yang sukar dan amat berat, namun ia adalah jalan terbaik meskipun menyedari ramai yang mempertikaikan tindakan keluarganya itu.

"Sebelum membuat keputusan ini, banyak perkara yang kami sekeluarga pertimbangkan dan selepas menerima maklumat termasuk waris perlu membayar RM10,000 setiap tahun sebagai kos pengebumian mengikut prosedur ditetapkan negara itu, kami tidak mampu," katanya.

Beliau turut mendedahkan bahawa hasil bedah siasat mendapati punca kematian adiknya yang juga anak kelima daripada sembilan beradik itu, adalah akibat radang usus.

Pada 9 Mac, jenazah Muhammad Khairul Anas diterbangkan dari Incheon, Korea Selatan ke Kuala Lumpur dan seterusnya ke Kota Kinabalu.

Artikel Berkaitan:

Jenazah kemudian dibawa dengan van dari Kota Kinabalu ke Tawau dan sebaik jenazah tiba pada 7.18 malam di Surau Al Munawarrah, Taman Sri Titingan di sini, jenazah kemudian disolatkan dan dikebumikan. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Bawa kain kafan ke Korea Selatan, pulang guna kain kafan sendiri