Empat warga asing ditahan lakukan pelbagai kesalahan imigresen

Seorang pengawal keselamatan warga Nepal antara empat warga asing yang ditahan dalam Ops Mahir di sebuah kilang pemprosesan gentian fiber di Gurun pada Rabu.
Seorang pengawal keselamatan warga Nepal antara empat warga asing yang ditahan dalam Ops Mahir di sebuah kilang pemprosesan gentian fiber di Gurun pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah menahan empat warga asing dalam Ops Mahir selama satu jam di sebuah kilang pemprosesan gentian fiber di Gurun pada Rabu.

Pengarah Imigresen Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, empat warga asing melibatkan dua warga China dan dua warga Nepal itu ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen dalam operasi bermula jam 12.30 tengah hari.

Menurutnya, ketika serbuan, salah seorang pekerja warga China yang bekerja sebagai pegawai penyelenggaraan di kilang berkenaan cuba meloloskan diri daripada dicekup namun gagal.

"Dalam pemeriksaan dilakukan sepasukan 11 pegawai dan anggota dari Unit Aduan, Risikan dan Operasi JIM Kedah mendapati seramai 15 pekerja termasuklah 11 warga tempatan dan empat warga asing bekerja di premis tersebut.

"Kita menahan dua pekerja warga China yang menjadi pegawai penyenggaraan kerana didapati tinggal lebih masa selepas pas lawatan sosial tamat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, dua lagi warga Nepal yang bekerja sebagai pengawal keselamatan pula ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 selepas gagal mengemukakan pas yang sah untuk tinggal dan berada di Malaysia.

"Kita turut mengeluarkan saman saksi (Borang 29) kepada seorang lelaki warga tempatan yang merupakan pengurus kilang yang beroperasi sejak Oktober 2019 bagi membantu siasatan.

"Pemilik premis berkenaan yang menggaji pekerja asing tanpa pas sah atau membenarkan imigran larangan yang berada di dalam premis tersebut akan dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 55B/55E/56(1)(d) akta yang sama," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kesemua individu ditahan dibawa ke Klinik Kesihatan Alor Setar untuk ujian saringan Covid-19 sebelum dibawa ke Lokap Imigresen Pejabat JIM Kedah untuk siasatan lanjut sebelum dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Belantik di sini.

Dalam pada itu, Zuhair turut mengingatkan warga asing agar mengambil peluang untuk menyertai Pelan Rekalibrasi Pulang atau Pelan Rekalibrasi Tenaga Kerja di bawah Jabatan Imigresen yang akan berakhir pada 30 Jun 2021.