Datuk Seri tak mengaku tipu Datuk libat projek pembinaan jalan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan berpangkat Datuk Seri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas pertuduhan menipu seorang pengarah syarikat berhubung projek pembinaan jalan raya yang tidak wujud empat tahun lalu.

Datuk Seri Ahamed Malik Syed Hamid, 68, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.

Mengikut pertuduhan, Ahamed Malik didakwa menipu Datuk Md Jailam Jeganathan Abdullah, 64, dengan cara memperdayakan mangsa dalam urusan mendapatkan projek yang tidak wujud iaitu Projek Pembinaan Jalan Raya 'Road Surfacing Project'.

Dia didakwa dengan curangnya mendorong mangsa untuk menyerahkan wang RM250,000 yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan tempat letak kereta Masjid Negara, Jalan Perdana, di sini pada Mac 2017.

Atas tuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Afiq Nazrin Zaharin manakala tertuduh diwakili peguam, Amir Farid Mohd Nawawi.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Sabariah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 April depan untuk sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan: