X

Kindly register in order to view this article
!

Kuota haji: Kerajaan tunggu pengumuman rasmi Arab Saudi

Zulkifli (dua dari kiri) menyerahkan komputer riba kepada penerima pada Majlis Penyerahan Sumbangan Komputer Riba kepada pelajar Asnaf UTM di Dewan Besar Tabung Haji Perak, Ipoh pada Khamis.
A
A

IPOH - Kerajaan akan menunggu pengumuman rasmi daripada kerajaan Arab Saudi berhubung jumlah sebenar kuota jemaah haji pada tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi atas pertambahan sebanyak 10,000 kuota jemaah haji Malaysia seperti diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, bagaimanapun jumlah sebenar jemaah dibenarkan menunaikan haji pada tahun ini masih tertakluk kepada situasi pandemik Covid-19 yang sedang melanda dunia ketika ini.

"Biasanya kerajaan Arab Saudi akan memberikan pengumuman secara rasmi mengenai perkara itu, kita akan tunggu. Saya yakin, InsyaALLAH dalam bulan Ramadan kali ini kita akan dapat ketahui.

"Bagaimanapun Tabung Haji akan ambil positif dengan membuat persediaan mengikut kadar kemampuannya dan akan bersungguh-sungguh untuk selesaikan jemaah untuk ke Mekah jika dibenarkan dan mendapat tawaran rasmi," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Komputer Riba kepada pelajar Asnaf Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Dewan Besar Tabung Haji Perak, di sini pada Khamis.

Hadir sama pada majlis itu, Pengarah (Hal Ehwal Pelajar) UTM Kuala Lumpur, Profesor Madya Ir Dr Pauziah Muhamad dan Pengarah Tabung Haji Perak, Mohamad Abas.

Menurutnya, berdasar jumlah semasa, pertambahan kuota itu menjadikan jemaah haji Malaysia meningkat kepada 41,000 orang.

Ditanya mengenai pemilihan bakal jemaah haji, Zulkifli berkata, ia berdasarkan senarai pada tahun lalu mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.

Menurutnya, pemilihan jemaah juga tertakluk kepada pelbagai pertimbangan termasuk faktor kesihatan dan kemampuan bakal jemaah haji.

Jelasnya, begitu juga dengan vaksin yang masih terlalu awal untuk diberikan komentar namun kerajaan akan bersedia ke arah itu.

Pada Rabu, kerajaan Arab Saudi dilaporkan bersetuju memberikan tambahan 10,000 kuota haji untuk jemaah Malaysia.

Muhyiddin berkata, beliau mengemukakan permohonan itu ketika menghadap Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan negara itu di Istana Al-Yamamah di sini pada Selasa (Rabu di Malaysia).

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia dapat tambahan 10,000 kuota haji


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!