Zahid minta derma RM10 juta daripada usahawan Singapura: Saksi

Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi
A
A
A

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis diberitahu bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta derma RM10 juta daripada seorang usahawan Singapura, Wong Sang Woo @ Wong Shuh Chain pada 2016 lalu.

Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Christ Sheldon Merun berkata, perkara itu diperoleh menerusi hasil rakaman percakapan Sang Woo.

Saksi ke-98 kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, Sang Woo mengatakan mengenali Ahmad Zahid ketika bertemu pada majlis makan malam, 2015 lalu.

Dalam majlis itu, Ahmad Zahid bertanya kepada Sang Woo sama ada mahu menderma bagi orang yang miskin dan memerlukan.

Selaku seorang dermawan katanya, Sang Woo bersetuju untuk memberi derma kepada yayasan yang diasaskan oleh Ahmad Zahid.

“Pada akhir majlis itu, Ahmad Zahid memberitahu jumlah yang diperlukan adalah sebanyak RM10 juta dan Sang Woo bersetuju untuk mempertimbangkan namun memerlukan masa untuk menyediakan jumlah tersebut.

“Lebih kurang awal 2016, Sang Woo menerima panggilan daripada seseorang yang diarahkan oleh Ahmad Zahid, menanyakan wang derma RM10 juta kepada Yayasan Akal Budi,” katanya ketika membaca pernyataan saksinya.

Christ Sheldon berkata, bagi memenuhi janji terhadap Ahmad Zahid, Sang Woo meminta bantuan kewangan daripada KTS Holdings Sdn Bhd melalui rakannya, Ngu Ngiong Hieng.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, tiada perjanjian atau dokumentasi dibuat kerana ia dilakukan atas dasar persahabatan.

Malah beliau berkata, Sang Woo mengatakan sumbangan RM10 juta itu tidak dilaporkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerana ia tidak akan mendapat pelepasan cukai.

Katanya, sumbangan RM10 juta itu dibuat melalui 10 cek atau sebanyak RM1 juta bagi setiap cek sepertimana yang diminta oleh orang Ahmad Zahid dan dibayar atas nama syarikatnya, Chia Bee Enterprise Sdn Bhd, kepada Lewis & Co.

Selepas ditanya mengenai perkara itu, Christ Sheldon berkata, Sang Woo tidak mengetahui sebab cek-cek tersebut perlu dibuat secara berasingan dan bukan dengan menggunakan satu cek sahaja.

Timbalan pendakwa raya, Harris Ong berkata, pihak pendakwaan ingin memfailkan penyataan Sang Woo mengikut Seksyen 32 (1) Akta Keterangan kerana SPRM tidak dapat mengesannya untuk memberi keterangan dalam perbicaraan Zahid.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung dengan memanggil saksi pendakwaan ke-99.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.