Rasuah RM300,000: Suspek ketiga direman enam hari

Ejen permit warga India direman enam hari bermula Khamis bagi membantu siasatan berhubung rasuah melepaskan 22 warga China daripada tahanan Imigresen, tahun lalu. - Foto Bernama
Ejen permit warga India direman enam hari bermula Khamis bagi membantu siasatan berhubung rasuah melepaskan 22 warga China daripada tahanan Imigresen, tahun lalu. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang warganegara India yang bekerja sebagai ejen permit warga asing direman enam hari bagi membantu siasatan kes menerima rasuah berjumlah RM300,000 daripada seorang individu kononnya bagi membantu melepaskan 22 warga China yang ditahan di depoh Imigresen.

Perintah reman hingga Selasa itu dikeluarkan Majistret Ellyna Othman di Mahkamah Majistret di sini selepas menerima permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sumber SPRM memberitahu, suspek lelaki yang berusia 51 tahun bekerja sebagai ejen permit warga asing lebih 10 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Selangor pada Rabu.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, lelaki yang merupakan individu ketiga direman untuk kes itu, disyaki menjadi ‘runner' kepada seorang wanita ejen pekerja warga asing dan dipercayai menguruskan dokumen memo periksa keluar kepada kesemua warga China.

"Selain itu, suspek ini juga disyaki mendapat sebahagian upah daripada bayaran diperolehi oleh ejen wanita pekerja asing yang berjumlah lebih RM90,000 yang diterima daripada seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri," katanya.

Pada Rabu, dua individu termasuk seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri dan seorang wanita, berumur 44 tahun dan 41 tahun direman selama enam hari bagi membantu siasatan.

Kedua-dua mereka yang ditahan mendakwa boleh membantu menyelesaikan kes penahanan 22 warga China yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket judi dalam talian dan Macau Scam.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009. - Bernama

Artikel Berkaitan: