X

Kindly register in order to view this article
!

Perak tumpu pembangunan industri di Parit Buntar, Bagan Serai

Saarani menyempurnakan pelepasan benih ikan dan udang ke Sungai Nibung Hangus, Bagan Serai pada Khamis.
A
A

BAGAN SERAI - Parit Buntar dan Bagan Serai berpotensi dibangunkan sebagai kawasan perindustrian kerana lokasinya yang strategik dan memiliki tanah bernilai tinggi.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, pada ketika ini, kerajaan negeri melihat kedua-dua kawasan itu mempunyai tarikan pelabur kerana kedudukannya hampir dengan pelabuhan dan lapangan terbang Pulau Pinang.

Menurutnya, kepesatan pembangunan di negeri Pulau Mutiara itu termasuklah kawasan persempadanan di Batu Kawan sekali gus menyumbang kepada keperluan tapak-tapak baharu bagi tujuan perkilangan.

"Kerajaan negeri sedang memberi perhatian kepada dua kawasan ini kerana kita dapati kawasan industri di Pulau Pinang telah padat, paling akhir membangun di Batu Kawan dan selepas itu tidak boleh lagi ke mana-mana.

"Maka kita percaya, kalaulah lapangan terbang dan pelabuhan itu yang menjadi tarikan kepada pelabur, maka akhirnya Parit Buntar dan Bagan Serai akan jadi pilihan kerana itu kawasan paling dekat.

"Contohnya Parit Buntar, dengan menggunakan jambatan kedua (Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah), hanya perlu setengah jam untuk sampai ke lapangan terbang," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pelepasan benih ikan lampam, baung dan udang di Kampung Nibung Hangus, di sini pada Khamis.

Beliau berkata, tiada masalah untuk kerajaan negeri menyediakan tapak bagi pembangunan industri dan perkilangan kerana kedua-dua kawasan itu masih mempunyai kapasiti yang besar bagi tujuan berkenaan.

"Masih ada tanah dan kawasan lapang di sini yang boleh dibangunkan, sekiranya diberi perhatian serius, saya yakin kawasan ini akan membangun dan menjadi tumpuan orang ramai," katanya.

Dalam siri lawatan sempena program Menteri Besar Perak Bersama Rakyat (Mesra) di daerah Kerian itu, sebanyak 100,000 benih udang galah, 73,000 benih ikan lampam serta 15,000 benih ikan baung dilepaskan ke dalam Sungai Nibung Hangus.

Langkah itu sebagai usaha menambah sumber pendapatan nelayan tempatan serta tarikan pemancing.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!