Bekas eksekutif dipenjara, didenda RM79,900 kemuka tuntutan palsu

Siti Aishah (dua dari kiri) dikenakan hukuman penjara dua bulan dan denda kerana mengemukakan dokumen palsu berkaitan tuntutan gaji di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis.
Siti Aishah (dua dari kiri) dikenakan hukuman penjara dua bulan dan denda kerana mengemukakan dokumen palsu berkaitan tuntutan gaji di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Seorang bekas eksekutif sumber manusia sebuah syarikat berdepan penjara dua bulan dan denda RM79,900.75 atas tuduhan mengemukakan dokumen palsu berkaitan tuntutan gaji di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis.

Tertuduh, Siti Aishah Mohamad Amir, 31, yang merupakan eksekutif sumber manusia di Hovid Berhad berdepan 14 pertuduhan masing-masing lima di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan sembilan di bawah Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah.

Bagaimanapun, pada prosiding berkenaan, tertuduh mengaku bersalah bagi lima pertuduhan di bawah Akta SPRM, manakala sembilan lagi pertuduhan dilepaskan dan dibebaskan.

Sementara itu, Hakim S Indra Nehru turut menetapkan hukuman penjara 15 bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh bersama seorang lagi yang telah dituduh sebelum ini, Mohd Iqbal Fakhruddin Roslan, 31, dengan niat bersama telah memperdayakan majikan dengan mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu.

Butiran palsu itu merupakan nombor akaun bank atas nama Siti Aishah bagi menuntut gaji pekerja yang telah berhenti berjumlah RM14,646.40.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Hovid Berhad di Jalan Kuala Kangsar di sini antara 29 Jun 2018 hingga 29 Mac 2019.

Bagi pertuduhan tersebut, wanita itu boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohammad Redzuan Mohamed Yusoff.

Pada 24 Februari lalu, seorang anggota polis berpangkat lans koperal didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu atas 25 pertuduhan bersubahat dengan seorang bekas eksekutif sumber manusia sebuah syarikat berhubung tuntutan gaji palsu membabitkan nilai lebih RM263,000 sejak tiga tahun lalu.

Mohd Iqbal Fakhruddin Roslan, 31, yang juga suami kepada Siti Aishah bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis didakwa subahat dengan isteri tuntut gaji palsu