Dua pelajar hina guru dihadap ke mahkamah

Dua pelajar yang menconteng baju mereka dengan tulisan kesat dan berunsur lucah sehingga tular di media sosial baru-baru ini, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu.
Dua pelajar yang menconteng baju mereka dengan tulisan kesat dan berunsur lucah sehingga tular di media sosial baru-baru ini, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu.
A
A
A
KOTA BHARU - Dua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menconteng baju mereka dengan tulisan kesat dan berunsur lucah sehingga tular di media sosial baru-baru ini, dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini, pada Khamis.

Kedua-dua tertuduh mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa atas kesalahan memakai baju yang mempunyai lambang dan tulisan bermaksud menghina atau lucah sehingga mengganggu keamanan setempat kerana dipakai di tempat awam di bulatan Chempaka, Pengkalan Chepa kira-kira jam 4 petang, pada 3 Mac lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM100.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan jaminan RM100 dengan seorang penjamin terhadap setiap tertuduh serta menetapkan 22 Jun depan bagi sebutan semula kes dan laporan akhlak.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Gayathri manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Nik Nazriani Nik Ab Rahman.

Sebelum ini tular sekeping gambar di Facebook yang dimuat naik oleh seorang individu yang memaparkan dua pelajar lelaki dipercayai calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang baru selesai menduduki peperiksaan menaiki motosikal dengan pakaian sekolah mereka diconteng perkataan kesat.

Perkongsian itu meraih lebih 2,000 komen selain dikongsi lebih 7,000 orang dengan rata-ratanya melahirkan rasa marah terhadap perbuatan pelajar itu menghina guru yang mendidik mereka selama ini.

Artikel Berkaitan: