Kerajaan jangan halang hak anak muda 18 tahun mengundi

Dari kiri: Abu Hafiz, Ulya Aqamah dan Nurul Ashikin.
Dari kiri: Abu Hafiz, Ulya Aqamah dan Nurul Ashikin.
A
A
A

SHAH ALAM - Tiga pemimpin Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menggesa kerajaan supaya tidak menghalang hak anak muda berumur 18 tahun untuk mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Ketua Penerangan Pejuang, Ulya Aqamah Husamudin; Ketua Pejuang Muda, Abu Hafiz Salleh Hudin dan Ketua Pejuanita Muda, Nurul Ashikin Mabahwi.

Menurutnya, pihaknya tidak bersetuju dengan kenyataan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim berhubung kelayakan mengundi di usia 18 tahun tidak dapat diteruskan bermula Julai 2021 ini.

“Sungguhpun Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 telah sempurna diluluskan di Parlimen, kenyataan Rais bukan sahaja tidak menghormati lunas perlembagaan malah memperkecilkan kemampuan anak-anak muda dalam membuat pilihan dalam pilihan raya.

“Justeru, kami menolak sekeras-kerasnya kenyataan beliau kerana menghina proses demokrasi Parlimen negara dan berharap Undi 18 dapat diteruskan seperti yang telah dirancang,” menurut kenyataan itu pada Khamis.

Pada Rabu, Rais memaklumkan kelayakan mengundi pada PRU di usia 18 tahun yang sepatutnya berkuatkuasa Julai ini tidak dapat diteruskan walaupun Dewan Rakyat sudah meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019.

Menurutnya, pelbagai kekangan ke arah pelaksanaannya sebelum negara benar-benar bersedia membenarkan pendaftaran pengundi seawal usia itu.

Mengulas lanjut, tiga ahli Pejuang berkenaan berkata, dalam tempoh 19 bulan selepas RUU itu diluluskan, tidak mungkin senarai pengundi muda masih tidak berjaya dihasilkan.

Artikel Berkaitan:

“Alasan politik yang diberikan (Rais) adalah tidak dapat diterima sama sekali.

“Bahkan, segala medium yang mungkin mengalami kesulitan boleh dicari jalan keluar bagi membolehkan partisipasi anak muda diperluaskan dalam menentukan masa depan negara melalui peti undi,” kata mereka.

Sehubungan itu, mereka menyeru kerajaan menyatakan pendirian tentang kenyataan Yang Dipertua Dewan Negara itu agar rakyat khususnya anak-anak muda dapat mengetahui pendirian muktamad kerajaan tentang kedudukan Undi 18.