Bina rumah berciri Islam atas tanah wakaf

Abdul Rahman (kiri) bersama Abdul Rahim(kiri) menyempurnakan majlis pecah tanah projek perumahan mampu milik dilaksanakan PSB dengan kerjasama Maipk di Lot 20148, Bandar Taiping hari ini.
A
A

TAIPING - Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak( PKEINPk) Sdn Bhd (PSB) bakal memperluaskan projek pembinaan rumah bercirikan Islam atau tepati syariah sebagai salah satu inisiatif memajukan tanah wakaf terbiar di seluruh negeri Perak dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (Maipk).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Rahman Abdullah Thani berkata, pelaksanaan projek pembinaan rumah berciri Islam ini julung kali dilaksanakan PSB di bandar Taiping dengan jumlah unit rumah mampu milik dibina sebanyak 10 buah di atas tanah Maipk seluas 0.4586 ekar.

Menurutnya, projek dijangka berjalan pada pertengahan tahun ini dan dijadualkan siap pada tahun 2020 bakal dimajukan dengan pembinaan rumah teres dua tingkat dengan keluasan ruang lantai binaan minimum 1,400 kaki persegi selain dilengkapi ciri-ciri reka bentuk dalaman Islamik.

"Kelebihan reka bentuk dalaman Islam akan mengutamakan kedudukan tandas dan bilik air adalah berasingan mengikut syariat Islam bagi menjaga kesucian dan kebersihan.

"Di samping itu, kedudukan tandas juga tidak menghadap arah kiblat juga memenuhi konsep tepati syariah dan kita menggalakkan juga mana-mana pembeli bukan Islam membeli rumah berkonsepkan sebegini jika menepati kehendak mereka," katanya kepada media pada majlis pecah tanah skim perumahan di atas Lot 20148, Bandar Taiping anjuran PSB dan Maipk di sini hari ini.

Majlis dirasmikan Yang Dipertua(YDP) Majlis Perbandaran Taiping(MPT), Datuk Abdul Rahim Md Ariff turut dihadiri Pengerusi PSB, Datuk Dr Mohamad Hashim Ahmad Tajudin dan Pengurus Pembangunan Hartanah MAIPK, Zulfadli Baharum .

Abdul Rahman (tengah) memberi penerangan kepada Abdul Rahim mengenai konsep reka bentuk rumah tepati syariah dibangunkan PSB.
Abdul Rahman (tengah) memberi penerangan kepada Abdul Rahim mengenai konsep reka bentuk rumah tepati syariah dibangunkan PSB.

Abdul Rahman berkata, pelaksanaan projek pembinaan rumah berciri Islami di Bandar Taiping turut dijual dengan harga mampu milik tidak melebihi RM250,000 bagi merealisasikan matlamat memartabatkan kelestarian umat Islam secara menyeluruh di Perak.

Menurutnya, projek ini menjadi pemangkin PSB untuk terus memajukan tanah wakaf terbiar diselia Maipk atau tanah dibeli syarikat itu sendiri pada masa hadapan.

"Bagi perancangan tahun ini sehingga tahun 2021, PSB sudah mengenal pasti beberapa tanah wakaf terbiar di Kampar, Alor Pongsu dan Chemor untuk dibangunkan projek sebegini.

"Cuma kami perlu memberi kesedaran kepada pembeli berpotensi mengenai proses pembelian rumah atas tanah wakaf kerana sememangnya ada sedikit isu komplikasi geran membabitkan tanah berstatus itu.

"Insya-ALLAH jika pembeli sudah memahami proses itu, kami yakin banyak tanah wakaf boleh dilaksanakan projek sama kerana kita tidak boleh membiarkan lebih banyak tanah wakaf terus terbiar bagi mengelakkan kemudaratan di kemudian hari,"katanya.

Abdul Rahman berkata, PSB juga akan memastikan penetapan harga rumah berciri Islam dijual pihaknya akan terus mengekalkan konsep mampu milik dan bersesuaian dengan tahap kemampuan dan kehendak konsep rumah dibina di sesuatu kawasan dibangunkan kelak.