Amaran akhir Ketua Polis Kelantan

Shafien (depan) mengikuti bacaan lafaz ikrar sempena perhimpunan bulanan di IPK pada Khamis.
Shafien (depan) mengikuti bacaan lafaz ikrar sempena perhimpunan bulanan di IPK pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Pegawai dan anggota polis Kelantan yang masih berdegil bersekongkol dengan penyeludup atau pengedar dadah akan dibuang kerja.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, amaran terakhir tersebut dikeluarkan kerana mendapati masih terdapat pegawai dan anggota tertentu menjadi penyampai maklumat kepada kumpulan tertentu.

Menurutnya, penyeludup mahupun pengedar dadah tidak akan melepasi sekatan yang dibuat di sempadan sekiranya tidak ada pihak yang memberikan maklumat.

"Saya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggota yang bersekongkol dengan penyeludup atau pengedar dadah terutama di kawasan sempadan.

"Kita tahu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), sekatan jalan raya masih berkuat kuasa. Jadi jika ada mana-mana terlibat, saya tidak akan teragak-agak untuk ambil tindakan sehingga boleh dibuang kerja.

"Kalau mereka tiada ‘informer’ di sini, penyeludup tidak boleh lepas," katanya kepada pemberita sempena Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) di sini.

Shafien berkata, berdasarkan maklumat terdapat usaha pihak tertentu cuba untuk menembusi sempadan negara meskipun sekatan telah dibuat.

"Saya ingatkan sekali lagi. Ini amaran terakhir, tindakan tegas akan dikenakan sehingga boleh dibuang kerja," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sebuah pasukan khas ditubuhkan untuk memantau media sosial semua pegawai dan anggota termasuk pasangan sejak tahun lalu.

"Saya juga ingin ingatkan, jangan sesekali menyalahgunakan media sosial dengan memuat naik gambar-gambar yang berunsur negatif seterusnya boleh mencemarkan imej jabatan," katanya.

Katanya, sebanyak 108 kertas siasatan tatatertib dibuka dan daripada itu sembilan kes direkodkan pada tahun ini.