Rakyat Argentina berhimpun tuntut 'keadilan' untuk Maradona

Foto - news sky.com
Foto - news sky.com
A
A
A

BUENOS AIRES - Rakyat Argentina berhimpun di jalan-jalan di Buenos Aires pada Rabu untuk menuntut keadilan terhadap kematian Diego Maradona di tengah tuduhan kecuaian perubatan, lapor Xinhua.

Beratus-ratus peminat bola sepak, kebanyakannya memakai baju kebangsaan Argentina, menyertai perhimpunan damai di pusat Buenos Aires, kata pihak berkuasa.

Penunjuk perasaan melaungkan ungkapan "Dia tidak mati, mereka membunuhnya," dan, "Keadilan untuk Diego, tangkap dan hukum orang yang bersalah".

November lalu, legenda bola sepak itu meninggal dunia akibat serangan jantung pada usia 60, hanya beberapa minggu selepas menjalani pembedahan membuang darah beku di otak.

Penyiasat berkata, pihaknya berusaha untuk menentukan sama ada terdapat kecuaian doktor dan petugas perubatan. Akhir bulan ini panel pakar perubatan dan forensik dijangka mengemukakan hasil siasatan.

Polis menyerbu kediaman dan tempat kerja doktor peribadi Maradona, Leopoldo Luque, dan psikiatri Agustina Cosachov beberapa hari setelah kematian pemenang Piala Dunia 1986 itu. Kedua-duanya menafikan melakukan kesalahan tersebut.

Media Argentina melaporkan seorang pakar psikologi, dua jururawat, dan dua penyelaras perubatan juga sedang disiasat. - Bernama

Artikel Berkaitan: