X

Kindly register in order to view this article
!

Berang isteri tidak pulang, penganggur bakar kereta saudara

Keadaan kereta mangsa yang dibakar.
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan seorang penganggur dipercayai membakar sebuah kereta milik saudara lelakinya di Jalan Indah 4/1, Taman Bukit Indah, di sini pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, suspek berumur 47 tahun itu ditahan di tepi Jalan Indah 5/5, kawasan perumahan sama, susulan laporan yang dibuat mangsa berumur 22 tahun tersebut.

"Berdasarkan laporannya, mangsa yang berada di dalam rumah ketika itu, memaklumkan dia terdengar penggera keretanya berbunyi pada kira-kira jam 6.30 pagi dan apabila melihat keluar rumah, didapati kereta Proton Saga miliknya terbakar di bahagian tayar kiri," kata Dzulkhairi dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut Dzulkhairi, mangsa dikatakan cuba memadamkan kebakaran tersebut, namun, gagal dan menyebabkan api merebak ke bahagian lain keretanya.

Beliau berkata, mangsa turut memanggil pihak bomba bagi memadam kebakaran dan api berjaya dipadamkan, namun keretanya rosak teruk.

Dzulkhairi berkata, berpandukan maklumat daripada mangsa, polis berjaya menahan suspek yang mempunyai satu rekod jenayah berkaitan rompak.

"Hasil siasatan, penganggur itu mengaku membakar kenderaan terbabit kerana tidak puas hati terhadap isterinya yang tidak pulang ke rumah sejak 1 Mac lepas kerana perselisihan faham," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!