Jangan ada unsur dengki bila laporkan maksiat

Dari kiri, Fazrul, Mohd Haris, Mohammad Nidzam dan Ahmad Tarmizi pada program Wacana Al-Quran Siri ke-97 bertajuk ‘Ketuk Pintu Cegah Maksiat: Bolehkah?’ yang disiarkan secara langsung di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu.
Dari kiri, Fazrul, Mohd Haris, Mohammad Nidzam dan Ahmad Tarmizi pada program Wacana Al-Quran Siri ke-97 bertajuk ‘Ketuk Pintu Cegah Maksiat: Bolehkah?’ yang disiarkan secara langsung di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Unsur dengki dan provokasi dengan tujuan memerangkap seseorang tidak boleh dilibatkan ketika melapor kejadian maksiat.

Pegawai Hal Ehwal Islam, Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mohd Haris Abdllah berkata, terdapat pelbagai aduan yang diterima berunsurkan provokasi dengan tujuan menjatuhkan orang lain.

Menurutnya, tindakan hanya akan diambil apabila laporan yang diterima lengkap dan juga telah dinilai oleh pegawai operasi.

“Kita kena saring, sebelum lakukan tindakan. Banyak provokasi yang dilakukan oleh bekas suami, bekas isteri, semata-mata nak memerangkap bekas mereka bersama pasangan lain.

“Saya ada terima panggilan tentang perkara ini sampaikan saya bertanya, adakah awak pasti mereka belum bernikah? Kita terpaksa saring dengan ketat, supaya maklumat yang disalurkan tersebut boleh diambil tindakan.

“Kadang-kadang, ada di antara mereka yang tidak pasti dengan apa yang mereka laporkan. Tujuan hanya hendak memerangkap,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Wacana Al-Quran Siri ke-97 bertajuk ‘Ketuk Pintu Cegah Maksiat: Bolehkah?’ yang disiarkan secara langsung di Kumpulan Karangkraf, di sini pada Rabu.

Program dikendalikan oleh Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI), Fazrul Ismail manakala qari jemputan, Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman memperdengarkan surah al-Imran ayat 104 dan 105.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, melalui Seksyen 54 Akta Tatacara Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan, pemberi maklumat yang melaporkan kejadian akan dimasukkan ke dalam borang lima.

Katanya, borang lima merupakan laporan yang mana akan disemak semula bagi menentukan tindakan akan diambil atau sebaliknya.

“Sebab itu sekarang ramai yang mengeluh, kami tidak mengambil tindakan. Tapi tanpa sedar, bila disaring. Maklumat tidak lengkap.

“Jadi, macam mana kami nak ambil tindakan? Tindakan penguatkuasaan perlu selari dengan undang-undang yang kita telah kuat kuasakan,” ujarnya.

Mohd Haris turut menasihati agar masyarakat seharusnya memberi teguran terlebih dahulu sebelum membuat tindakan lanjut.

Katanya, laporan boleh dibuat sekiranya pesalah masih berdegil dengan teguran yang diberi.

“Jika mereka tidak boleh ditegur, serahkan kepada penguat kuasa. Semua pihak perlu bagi kerjasama untuk salurkan maklumat,” katanya.

Seorang lagi panelis, Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Universiti Putra Malaysia, Dr Mohammad Nidzam Abdul Kadir berkata, terdapat beberapa syarat dalam mencegah kemungkaran.

Menurutnya, syarat tersebut ialah, kemungkaran yang dilakukan mesti wujud pada ketika itu dan bukan pada masa lampau atau akan datang.

Mohammad Nidzam menambah, maksiat yang dilakukan secara sembunyi dan tanpa bukti, pihaknya tidak akan dapat mencegah perkara itu.

“Selain itu, kita boleh menyiasat perbuatan maksiat sekiranya dilaporkan oleh dua orang yang adil. Contohnya, imam masjid, ketua kampung dan sebagainya,” katanya.