Tidak mustahil kerjasama ‘tidak rasmi’ PH, BN pada PRU15

Zaid Ibrahim, Khalid Samad
Zaid Ibrahim, Khalid Samad
A
A
A

SHAH ALAM – Kerjasama ‘tidak rasmi’ antara Pakatan Harapan (PH) dan parti blok kerajaan terutamanya Barisan Nasional (BN) tidak mustahil berlaku di beberapa kawasan dan negeri tertentu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) nanti.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad berkata, PH bersedia mempertimbangkan strategi pilihan raya berkenaan sekiranya pendekatan itu mampu memastikan kemenangan blok pembangkang dan tidak menjejaskan mesej reformasi pentadbiran negara kepada rakyat.

Bagaimanapun, Khalid memberi amaran strategi itu hanya boleh dicapai sekiranya blok pembangkang berjaya membentuk koalisi perdana dengan proses perundingan perlu diatur sendiri oleh calon-calon bertanding.

“Tidak mustahil di tempat-tempat dan negeri tertentu terutama di kawasan lokal, calon-calon (PH) sendiri yang kena berunding dengan parti musuh (bagi menjalinkan kerjasama tidak rasmi).

“Kalau kita mahu lawan PN (Perikatan Nasional) dan BN di lokasi tertentu, sekiranya diletakkan calon PN, pastinya orang BN tidak setuju. Maka mungkin (BN) ada kerjasama tidak rasmi dengan PH...mungkin satu atau dua kerusi, mungkin juga satu negeri.

“Bagi saya, secara umumnya, PH dan pembangkang lain kena bersatu baru strategi pilihan raya ini boleh dilaksanakan,” katanya secara eksklusif kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kemungkinan berlaku ‘kerjasama tidak rasmi’ di antara PH dan BN bagi menghadapi PRU15, menyamai strategi dipraktikkan kerajaan BN dipimpin bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Pas pada PRU14.

Pada 4 Mac lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan pendirian UMNO untuk menolak kerjasama dengan Bersatu pada PRU15 berdasarkan keputusan sebulat suara Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu.

Artikel Berkaitan:

Terkini, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim melalui catatan di laman Facebooknya mencadangkan UMNO menggantikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk bekerjasama dengan PH bagi menghadapi PRU15.

Ujarnya, PH memerlukan strategi sama digunakan ketika memenangi PRU14 pada tahun 2018 iaitu mengikat kerjasama dengan parti Melayu yang kuat seperti UMNO.

Zaid turut yakin UMNO mempunyai kemampuan mempengaruhi pengundi Melayu dan bersama-sama PH akan berupaya memperoleh lebih banyak kerusi seperti ketika Barisan Nasional (BN) menguasai sebelum ini.

Merujuk mesej disampaikan Zaid, Khalid mengakui penyertaan Bersatu ke dalam PH terbukti merupakan strategi ampuh bagi menangkis taktik BN yang cuba menggunakan Pas bagi memecahkan undi PH pada PRU14.

“Analisis PRU14 sebenarnya agak menarik kerana UMNO dan BN sebenarnya cuba memperalatkan Pas, bukan benar-benar bekerjasama dengan mereka.

“Melalui pertembungan tiga penjuru, BN menjangkakan mereka mampu menguasai kerusi di Pantai Barat kerana undi Pas tidak bersama PH. Bahkan senario lebih teruk, mereka sebenarnya mahukan Pas kalah di Pantai Timur apabila undi penyokong Pas lari kepada PH.

“Namun, PH bernasib baik dapat menangkis strategi BN dengan memujuk Bersatu menyertai kami. Ironinya, Bersatu memastikan sebahagian undi penyokong UMNO dan Pas kembali kepada PH,” katanya.

Khalid turut mendedahkan bukan semua ahli Parlimen BN dan UMNO mempunyai liabiliti dan terdiri kluster mahkamah.

"Sekiranya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin (Yassin) hilang keabsahan pada sidang Parlimen akan datang, kita cuma perlukan enam, tujuh ahli Parlimen UMNO untuk bentuk kerajaan baharu.

"PH tiada masalah bekerjasama dengan sesiapa sahaja selagi mana mereka boleh menerima prinsip dan wawasan dibawa PH," katanya.

Sementara itu, Zaid sewaktu dihubungi mengakui toleransi UMNO dan PH mampu memastikan kedua-dua blok itu kembali ke Putrajaya sekiranya saling bekerjasama pada PRU15.

Jelas beliau, kerjasama itu memastikan usaha penubuhan kerajaan stabil dengan kemungkinan perolehan kerusi majoriti lebih besar bagi mentadbir negara.

"Siapa yang perintah dan jadi Perdana Menteri bukan penting kerana perkara itu perlu dipilih berdasarkan siapa dapat kerusi lebih.

"Paling mustahak, kedua-duanya (UMNO dan PH) boleh mendapat majoriti besar dan boleh mentadbir lebih baik. Tetapi saya tidak tahu siapa yang memerintah nanti," katanya.