Krisis Kapal Tempur Littoral: Ke mana arah selanjutnya?

No Image Caption
A
A
A

KAMI menyahut seruan kempen Rasuah Busters. Kami menulis rencana ini bagi memperincikan bagaimana rasuah dapat melemahkan keselamatan negara.

Program Kapal Tempur Littoral (LCS) kini berada di persimpangan yang getir. Pada asalnya, program itu sepatutnya sudah menghasilkan sebuah kapal siap dan diterima pada April 2019, dengan baki kapal disiapkan dan diterima oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) setiap enam bulan setelah itu.

Pada Disember tahun lalu, Menteri Pertahanan telah mengesahkan bahawa walaupun RM6 bilion telah dibayar, kapal pertama dalam program ini hanya 59.79 peratus siap. Lebih merisaukan lagi adalah pendekatan kerajaan terhadap penyelesaian kepada masalah dihadapi program itu. Kini, hanya dua pilihan ada dalam pertimbangan pihak kerajaan iaitu menamatkan kontrak bersama Boustead Naval Shipyard (BNS) atau meneruskannya dengan BNS.

Pilihan untuk melantik syarikat DCNS Naval Group, rakan kongsi Perancis BNS dalam projek ini sebagai kontraktor penyelamat tidak lagi dipertimbangkan. Bahkan, dana tambahan tidak akan lagi disuntik, sebaliknya hanya baki harga siling sebanyak RM3 bilion akan digunakan untuk menyiapkan sekurang-kurangnya dua kapal – satu pendapat yang dianggap ‘realistik’ oleh kerajaan.

Harga siling untuk projek tersebut berjumlah RM9 bilion dan daripadanya, RM6 bilion telah dibelanjakan. Daripada RM6 bilion itu, disyaki RM1 bilion tidak boleh dikesan.

Rangka penyelesaian itu sememangnya tidak kukuh atas beberapa sebab. Pendapat kerajaan ini mencerminkan tumpuan hanya kepada aspek birokrasi dan fidusiari iaitu bagi memastikan kedudukan kewangan kepada kerajaan terjamin.

Walaupun tidaklah salah memberi tumpuan kepada aspek-aspek berke-naan tetapi pihak kerajaan perlu juga mengambil kira objektif asal program perolehan itu iaitu untuk melengkapkan TLDM dengan keupayaan bertempur yang moden dan diperkemas.

Tidak kiralah sama ada kerajaan menamatkan projek atau meneruskannya dengan dua kapal diterima, persoalan tentang implikasi kedua-dua pilihan itu terhadap keberkesanan tempur TLDM seolah-olah tidak terjawab, lebih-lebih lagi dalam suasana strategik di mana keselamatan maritim negara makin dicabar.

Kita perlu ingat bahawa kebanyakan kapal TLDM berusia lebih daripada 25 tahun. Tujuan pelaksanaan program transformasi 15-to-5 adalah untuk menggantikan kapal-kapal berusia yang tiada keberkesanan kos dari segi penyelenggaraan dan usang.

Sekiranya projek LCS gagal, timbul juga persoalan tentang langkah kerajaan untuk merapatkan jurang keupayaan yang terwujud akibat perkara itu.

Dalam konteks perolehan pertahanan, kerajaan perlu juga memikirkan semula tempoh rangka masa digunakan. Tempoh lima tahun setiap Rancangan Malaysia mungkin tidak sesuai dalam konteks perolehan aset pertahanan kerana kebanyakannya mempunyai kitaran hayat yang jauh melangkaui lima tahun.

Penyelesaian yang dicadangkan turut mengabaikan satu lagi pertimba-ngan penting, pembekal kapal LCS iaitu BNS yang merupakan anak syarikat kepada Boustead Heavy Industries Corporation, yang seterusnya dimiliki secara majoritinya oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Artikel Berkaitan:

Dalam erti kata lain, secara tak langsung (de facto), BNS merupakan salah satu agensi kerajaan juga. Dalam mengabaikan kepentingan BNS bagi perkara itu, kerajaan secara langsung akan membiarkan entiti tunggal yang mampu menyelenggara kapal-kapal TLDM dan agensi keselamatan maritim yang lain untuk gagal.

Sememangnya, kedudukan kewa-ngan BNS kini dikatakan berada di tahap cukup merisaukan dan merupakan duri dalam daging ibu syarikatnya, Boustead Holdings. Dilaporkan, hal itu berpunca daripada beberapa faktor, khususnya keperluan untuk membayar balik pinjaman lapuk bagi projek dibatalkan sebelum ini dan pendapatan yang berkurang daripada kontrak penyelenggaraan.

Tanpa pelan yang lebih menyeluruh, tidak kiralah sama ada jika projek itu diteruskan atau ditamatkan, persoalan berkenaan keberlangsungan BNS sebagai satu syarikat tetap akan timbul. Sekiranya ia dibiarkan, implikasinya tidak akan terhad hanya kepada TLDM, malah akan terkena juga kepada ibu syarikatnya, Boustead Holdings dan LTAT. Prestasi kewangan LTAT kini kurang memuaskan.

Seterusnya, keputusan kerajaan tidak melibatkan rakan kongsi Perancis BNS iaitu DCNS Naval Group perlu difikirkan semula. Walaupun niat kerajaan untuk membangunkan kemahiran reka bentuk untuk industri negara merupakan satu niat yang baik, ia perlu berteraskan realiti.

Kontrak antara BNS dan DCNS Naval Group mewajibkan apa-apa perubahan kepada reka bentuk kapal LCS yang dilakukan oleh BNS disahkan terlebih dahulu oleh Naval Group kerana Naval Group merupakan autoriti reka bentuk kapal frigat Gowind.

Reka bentuk terperinci kapal adalah halangan terakhir dalam menyiapkan projek tersebut. Secara asasnya, ia adalah satu rangka biru yang menjelaskan kaedah untuk memadankan peralatan dan lengkapan elektronik kapal kepada badan kapal. Tanpanya, semua perala-tan dan lengkapan itu tidak boleh dipasangkan.

Memandangkan masa semakin suntuk untuk projek itu, pihak kerajaan perlu bersedia berunding dan bekerjasama dengan syarikat DCNS untuk mempercepat proses penyiapan reka bentuk yang terperinci. Sekiranya tidak, kelewatan akan berterusan.

Tiada persoalan lagi, TLDM memerlukan kapal LCS. Sebagai salah satu elemen dalam program 15-to-5, ia sangat diperlukan untuk memenuhi keperluan kapal tempur yang berkeupayaan dalam misi anti kapal, anti kapal selam dan pertahanan ruang udara.

Namun, proses perolehan itu tidak terlindung daripada campur tangan politik yang telah menjejaskan integritinya.

BNS telah diberi Letter of Award untuk projek ini pada 16 Disember 2011 dan seterusnya menandatangani kontrak pada 17 Julai 2014, tetapi perbincangan tentang pelan strategik 15-to-5 hanya bermula sekitar tahun 2015, dengan dokumen rasminya dikeluarkan untuk bacaan awam pada tahun 2018. Hal itu menunjukkan justifikasi yang dibuat untuk perolehan itu hanya diberi selepas dan bukan sebelum keputusan dibuat. Maka, timbullah persoalan sama ada reka bentuk yang dipilih itu sebenarnya berdasarkan merit ataupun usaha dan kehendak vendor.

Persoalan juga timbul mengenai integriti saluran dana projek. Pada 11 Februari 2020, Menteri dan Timbalan Menteri Pertahanan ketika itu bersama-sama Tan Sri Ambrin Buang telah bertemu dengan bekas Perdana Menteri untuk mempersembahkan dapatan siasatan JKSTUPKK.

Ambrin telah menyatakan bahawa sebanyak RM1 bilion daripada dana projek tidak boleh dikesan. Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengesahkan pada Disember tahun lepas bahawa sia-satan oleh SPRM sedang dijalankan dan audit forensik.

Kami berharap kerajaan akan memastikan siasatan itu membuahkan hasil. Mana-mana pihak yang didapati salah berkaitan isu berkenaan perlu dikenakan tindakan, dana yang telah digelapkan perlu dipulangkan dan digunakan untuk pembayaran kos projek.

Walaupun begitu, bayangan korupsi masih meliputi projek berkenaan. Setelah tindakan dikenakan kepada mereka yang sepatutnya, segala usaha perlu digembleng oleh kerajaan untuk memastikan sejarah tidak diulangi.

Kami menyambut baik pengumuman Menteri Pertahanan berkaitan keperluan untuk menyusun semula tim projek dan pengurusan BNS sekiranya projek LCS akan diteruskan tetapi pihak kerajaan perlu juga muhasabah diri dan kesilapan yang telah dilakukan.

Dalam konteks lebih besar, kaedah kendalian industri dan perolehan pertahanan juga perlu berubah. Kertas Putih Pertahanan telah menggariskan keperluan bukan sahaja untuk komitmen jelas kerajaan bagi pelaburan kepada perolehan pertahanan, malah untuk kerajaan memperkemas dasar industri pertahanan agar ia lebih jelas serta mudah difahami.

Sekiranya projek-projek seterusnya akan berjaya, iktibar yang diambil daripada perolehan ini perlu dibukukan dalam pembaharuan-pembaharuan ini agar kesilapan tidak diulangi.

Kita hanya boleh berharap bahawa pelan-pelan pelaburan pertahanan dan dasar industri pertahanan yang bakal dikeluarkan pada tahun-tahun akan datang akan menjawab persoalan-persoalan ini apabila diterbitkan dan dibahaskan di Parlimen.

* Liew Chin Tong ialah Pengerusi REFSA dan bekas Timbalan Menteri Pertahanan.

* Nik Mohamed Rashid Nik Zurin ialah Penyelidik Research for Social Advancement (REFSA), sebuah badan pemikir