Syed Saddiq bukan merajuk, tapi sambung belajar di Singapura

Syed Saddiq berangkat menyambung pengajian ke Singapura tiga hari lalu.
Syed Saddiq berangkat menyambung pengajian ke Singapura tiga hari lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendedahkan beliau ke Singapura untuk melanjutkan pelajaran dan bukanlah kerana merajuk atau membawa diri selepas genap setahun terpaksa melepaskan jawatan sebagai menteri Kabinet berikutan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Akui bekas Menteri Belia dan Sukan itu, beliau membuat keputusan melanjutkan pengajian bagi memperbaiki kualiti dan mutu perkhidmatannya sebagai pemimpin kepada rakyat.

Menurut Syed Saddiq, sebagai ahli Parlimen yang diberi kepercayaan oleh pengundi di Muar, maka tanggungjawab hakiki beliau adalah bertugas dengan baik dan menyuarakan suara rakyat di Parlimen.

“Saya mahu memperbaiki kualiti khidmat saya dan bertugas dengan baik di samping membawa dasar rakyat prihatin.

“Maka saya lanjutkan pelajaran di Universiti Nasional Singapura (NUS) dalam Polisi Awam Sekolah Lee Kuan Yew dengan biasiswa penuh. Sebelum ini saya menghadiri kelas melalui pertemuan secara maya (online), namun kini perlu menghadiri kelas secara fizikal dan bersemuka.

“Melalui pengajian saya ini juga, saya belajar berhubung dasar dan polisi kerajaan. Insya-Allah saya akan memperbaiki diri saya untuk menggubal dasar dengan lebih baik,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Syed Saddiq dalam kenyataan di media sosial pada Isnin, menjelaskan beliau berada di Singapura selama sebulan untuk menyambung pengajiannya dalam bidang Polisi Awam.

Ekoran itu, beliau sanggup memulangkan semua elaun bulan Mac kepada rakyat di Muar bagi kegunaan mereka memandangkan beliau akan berada di Singapura dalam tempoh sebulan.

Artikel Berkaitan:

Syed Saddiq menegaskan, beliau tidak layak untuk menerima bayaran elaun tersebut dalam tempoh pengajian penuh di sana.

Dalam perkongsian di laman sosial itu juga, Syed Saddiq turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia dan memohon agar rakyat mendoakan keselamatan dan kesejahteraannya sepanjang beliau berada di negara itu.